KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menjelaskan tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
AGC dalam kenyataan memaklumkan proses berkenaan hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada.
Jabatan itu menyatakan pihaknya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lepas dan pelantikan itu masih perlu melalui beberapa formaliti.
“Pelantikan itu wajar dilakukan dengan tertib dan teratur. Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman,” menurut AGC.
–BERNAMA