KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak menyalurkan hampir RM2 juta peruntukan bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan di daerah Kuala Kangsar setakat Julai, sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, dana berjumlah RM1.97 juta itu melibatkan pelbagai projek di kawasan tumpuan pelancong, termasuk sebahagian di daerah Sungai Siput.

Jambatan Victoria di Enggor, Kuala Kangsar.
“Peruntukan ini adalah usaha untuk memperkasa sektor pelancongan negeri, khususnya di Kuala Kangsar yang dikenali sebagai ‘Bandar Diraja’ serta kaya dengan nilai budaya dan sejarah.
“Malah, bandar Kuala Kangsar turut mendapat perhatian dalam kalangan pelancong di media sosial susulan projek seni mural bertemakan Gajah Diraja yang menelan kos RM25,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja di Jambatan Victoria, Enggor, pada Khamis.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan Kampung Baru, Izac Poh Peng, dan Ketua Kampung Baru Karai, Leu Poh Kin.
Menurut Sze Yee, di bawah peruntukan sama, projek laluan berbasikal yang menghubungkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak dengan Sayong kini siap 90 peratus, manakala laluan di kawasan Kota Lama masih dalam fasa akhir pembinaan.
“Projek ini adalah kesinambungan pembangunan laluan berbasikal fasa pertama yang merangkumi jarak 80 kilometer dari R&R Sungai Perak ke Intan Suraya.
“Peruntukan ini bukan sahaja untuk memperindah lokasi pelancongan, tetapi juga bagi menjana ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan penglibatan komuniti dalam sektor pelancongan negeri.
“Laluan itu, misalnya, akan menjadi tarikan ideal bagi peminat sukan berbasikal menikmati keindahan kampung tradisi, seni warisan seperti tekat emas dan labu sayong, serta hidangan popular seperti Laksa Kuala Kangsar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara projek lain yang menerima peruntukan termasuk kerja menaik taraf dataran dan kemudahan awam di Laman Budaya Kuala Kangsar sebanyak RM850,000; baik pulih Muzium Diraja Kuala Kangsar (RM300,000); serta pengindahan dan lukisan mural di Jambatan Karai (RM20,000).
Ujar beliau, sementara di Sungai Siput, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan bernilai RM70,000 bagi projek pembangunan infrastruktur pelancongan baru di Kampung Landap.
“Peruntukan itu disalurkan untuk kita memperkasakan ekonomi masyarakat luar bandar khususnya Orang Asli melalui sektor ekopelancongan seperti dengan mewujudkan pusat-pusat rekreasi,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: