IPOH – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak, mempelawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini menyertai Seminar E-Invois Hasil pada 24 Julai ini.
LHDN Perak dalam satu kenyataan berkata, seminar berkenaan terbuka kepada semua pembayar cukai fasa 3, 4 dan 5 pelaksanaan e-Invois.
“Penyertaan adalah percuma kepada semua PMKS di mana terhad kepada 700 peserta terawal dan akan diadakan di Vetro Hall, Galasa Caldwell.
“Kuota penyertaan untuk setiap syarikat/perniagaan/organisasi adalah terhad kepada dua orang peserta sahaja dan pendaftaran yang melebihi kuota yang ditetapkan akan dibatalkan,” katanya.
Jelasnya, hanya pendaftaran dengan maklumat yang tepat sahaja akan diterima dan pengesahan kehadiran ke seminar akan diberikan selepas tarikh tutup.
Katanya lagi, Seminar E-Invois Hasil juga akan dijalankan dalam Bahasa Melayu dan pendaftaran akan ditutup lebih awal sekiranya telah penuh. -MG Perak