Titah Adendum cerminan keadilan, segera laksanakan – UMNO Perak

IPOH – UMNO Perak menyifatkan pelaksanaan Titah Adendum berhubung hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan Titah Adendum tersebut juga mencerminkan kematangan sistem kenegaraan yang menjunjung prinsip keadilan dan ihsan dalam kerangka undang-undang.

Katanya, penjelasan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kewujudan Titah Adendum itu telah memperkukuhkan keyakinan umum terhadap prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan, serta menjernihkan kekeliruan yang timbul sebelum ini.

“UMNO Perak menyeru Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia, agar mengambil tindakan segera melaksanakan titah ini.

“Ini penting bukan sahaja demi menjunjung institusi tertinggi negara, malah sebagai lambang keadilan yang seimbang antara undang-undang dan perikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Saarani berkata, UMNO Perak menegaskan bahawa titah diraja yang diperkenan secara sah itu perlu dilaksanakan dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.

“UMNO Perak mengambil maklum dan menyambut baik penjelasan rasmi Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan dan kesahan Titah Adendum itu.

“Kami terus teguh mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan Institusi Diraja demi kestabilan, keharmonian dan masa depan negara,” katanya lagi.

Rabu lepas, media melaporkan AGC tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

UMNO mohon titah adendum dilaksana ikut Perlembagaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI