IPOH – Seorang pesara kilang berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian (phone scam) pada Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 56 tahun itu telah menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai individu dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurutnya, individu terbabit memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa terlibat dengan pinjaman ah long.
“Mangsa disarankan supaya membuat laporan polis dan selepas itu panggilan telefon pengadu disambungkan kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis di Bukit Aman.
“Kemudian, mangsa diarahkan untuk membuat pindahan wang berjumlah RM166,897.58 dari KWSP miliknya ke satu akaun lain yang berdaftar atas nama syarikat pada 7 Julai lalu,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang penyelia tapak berusia 61 tahun telah melayari Facebook (FB) dan tertarik dengan satu iklan pelaburan pada 1 April lalu.
“Mangsa kemudiannya menghubungi ejen tersebut dan telah tertarik dengan tawaran pulangan 10 hingga 20 peratus dalam tempoh masa yang pendek bertindak membuat 14 transaksi ke enam akaun bank yang berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM307,315,“ ujarnya.
Katanya, mangsa berasa tertipu apabila masih diminta membuat penambahan bayaran wang sebagai cukai untuk tujuan pengeluaran keuntungan daripada pelaburan tersebut.
“Kedua-dua mangsa terbabit membuat laporan polis pada Ahad lalu,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis siasat lelaki menyamar doktor perdaya pelajar hantar gambar bogel