IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya menanam anjing hidup-hidup di Pusat Kurungan Haiwan, Lahat, di sini seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Korporat MBI, tindakan pengebumian haiwan tersebut adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam pengurusan haiwan terbiar, selaras dengan garis panduan serta perundangan sedia ada.
“Semua haiwan yang terlibat telah melalui proses Put To Sleep (PTS) secara berperikemanusiaan, dan bukannya ditanam hidup-hidup seperti yang didakwa,” kata kenyataan itu pada malam ini.
Katanya, proses PTS itu telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, iaitu agensi berautoriti yang bertanggungjawab dalam aspek kebajikan dan pengurusan haiwan di negeri ini.
“Pihak JPV juga membuat pengesahan kematian terhadap haiwan itu terlebih dahulu sebelum pengebumian dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan pengurusan bangkai haiwan dilakukan secara selamat dan menepati piawaian kesihatan awam.
“Justeru, MBI sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab menguruskan haiwan terbiar secara beretika, bertanggungjawab dan menurut tatacara yang telah ditetapkan oleh agensi berkaitan,” tambah kenyataan itu.
Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI atau JPV Perak.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video dan gambar menunjukkan pekerja berpakaian seragam menguruskan pengebumian besar-besaran haiwan tersebut.
Terdapat beberapa pihak mendakwa ada beberapa ekor anjing yang masih hidup dalam sangkar sebelum dibuang ke dalam lubang yang sama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPV Perak sita haiwan ternakan, kenderaan bernilai RM420,392