LENGGONG – Lembah Lenggong memiliki keunikan tersendiri dari segi keindahan flora dan fauna sehingga menjadi antara daya tarikan utama pembangunan sektor pelancongan tempatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru masyarakat setempat perlu merebut peluang dengan menyertai pelbagai program yang dianjurkan di kawasan berkenaan yang turut memberi impak positif kepada ekonomi penduduk.
“Kita berharap agar sepanjang tahun ini, lebih banyak program dapat dianjurkan di Lenggong. Penduduk setempat juga perlu sentiasa peka dengan kalendar pelancongan daerah ini.
“Usaha ini penting bagi menjadikan Lenggong sebagai antara destinasi pelancongan utama yang mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas pada acara pelepasan peserta Program Fun Run Lenggang Lenggong Geopark Festival 2025 di perkarangan Resort Tasik Raban, dekat sini, pada Sabtu.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan turut menyempurnakan pelepasan 520 peserta yang menyertai larian sejauh lima kilometer (km) di sekitar kawasan resort berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Program Lenggang Lenggong Geopark Festival 2025, Amir Izwady Abu Bakar berkata, penganjuran festival berkonsepkan aktiviti luar dan kebudayaan itu merupakan kali pertama diadakan di Lenggong.
Menurut beliau, pemilihan Lembah Lenggong sebagai lokasi adalah bersesuaian memandangkan kawasan berkenaan mempunyai keunikan tersendiri, khususnya dari segi sejarah dan panorama semula jadinya.
“Salah satu keistimewaan Lenggong ialah status Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Malah, jika dilihat secara keseluruhan, elemen pemeliharaan dan pemuliharaan budaya, warisan, sejarah serta alam semula jadi masih dapat dilihat dengan jelas di kawasan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Amir Izwady berkata, program selama empat hari bermula Khamis itu turut merangkumi pelbagai pengisian seperti bengkel, bual bicara, pameran, persembahan kebudayaan serta konsert.
“Antara pengisian lain termasuk kepada aktiviti perkhemahan dan ‘campervan’ atau van perkhemahan yang disertai peserta dari seluruh negara.
“Malah pada masa sama, turut diadakan gerai-gerai jualan sebagai usaha menyokong ekonomi penduduk setempat serta produk tempatan,” kata beliau.
Tambah Amir Izwady, Lenggang Lenggong Geopark Festival 2025 dianjurkan Geliong Ventures Sdn Bhd dengan kerjasama Pertubuhan Buluh Malaysia (MBS).
Ujar beliau, penganjur program turut mendapat kerjasama termasuk daripada Tourism Malaysia, Yayasan Hasanah, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan sebagainya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Masjid kedua tertua Perak kekal kukuh di Lenggong