IPOH – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh soal kesejahteraan rakyat menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan sebagai tepat pada masanya oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Antara intipati utama yang menjadi tumpuan ialah pembinaan sejuta unit rumah mampu milik di seluruh negara serta kesinambungan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pekerja swasta, Norsheila Arshad, 40, berkata, pengumuman berhubung pembinaan rumah sejuta mampu milik itu memberi kelegaan kepada golongan B40, khususnya mereka yang ingin memiliki kediaman pertama.

Bagaimanapun katanya, harga rumah yang ditawarkan perlu lebih rendah daripada harga pasaran selain mengurangkan kerenah birokrasi.
“Kalau boleh, biarlah harga rumah mampu milik itu dijual di bawah RM400,000 atau pada kadar yang tidak membebankan rakyat.
“Saya juga berharap projek ini dibangunkan di kawasan yang berhampiran dengan kemudahan asas seperti sekolah, taman permainan dan pasar raya,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, peniaga, Zaimy Zulkarnain, 30, menyambut baik kesinambungan bantuan tunai STR dan SARA yang diumumkan untuk tempoh lima tahun akan datang, namun berharap jumlah bantuan dapat ditambah seiring peningkatan kos sara hidup.
“Contohnya, bantuan tunai SARA sangat membantu golongan kurang berkemampuan untuk membeli barangan dapur dan keperluan anak kecil,” jelasnya lagi.
Bagi pelajar universiti, Anis Mastura Ariffin, 24, bantuan STR dan SARA turut memberi kelegaan kepada golongan pelajar sepertinya dalam menguruskan perbelanjaan harian.
“Bantuan sebegini amat diperlukan kerana ia membantu kami menguruskan wang poket untuk membeli keperluan asas,” katanya.
Terdahulu, pada Khamis, Anwar ketika membentangkan RMK-13 di Dewan Rakyat, mengumumkan beberapa inisiatif kesejahteraan rakyat termasuk pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 2026 hingga 2035.
Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan sosial STR dan SARA akan diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-13 sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan membantu golongan rentan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RMK-13: Sejuta rumah mampu milik akan dibina antara 2026 -2035