KUALA KANGSAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti keperluan menambah pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling di asrama sekolah-sekolah di bawah kelolaannya.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia bagi membolehkan pelajar sekolah yang menetap di asrama mendapat perhatian dan bimbingan yang lebih baik sepanjang berada di asrama.
“Hari ini, saya meluangkan masa di Kuala Kangsar dan mengadakan perbincangan bersama pihak polis mengenai keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah berasrama.
“Kami membincangkan pelbagai perkara termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pengurusan asrama serta kepentingan ibu bapa menilai kesediaan anak-anak sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke sekolah berasrama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Menurut Fadhlina, bukan mudah bagi ibu bapa melepaskan anak-anak yang masih kecil untuk hidup berjauhan namun kepercayaan tetap diletakkan kepada mereka agar mereka akan belajar berdikari dan membina keyakinan diri.
“Namun, setiap anak berbeza. Ada yang mudah menyesuaikan diri dan ada juga yang mengambil masa lebih lama. Ada yang mampu menghadapi persaingan akademik dengan baik, ada juga yang memerlukan lebih banyak dorongan.

“Saya percaya kita perlu sentiasa menyediakan ruang untuk anak-anak bercerita. Kadangkala mereka tidak meminta banyak. Cukuplah apabila mereka tahu bahawa ada kenalan mereka yang sedia mendengar tanpa menghakimi,” katanya.
Fadhlina turut mahu ibu bapa tahu bahawa KPM berkongsi harapan yang sama iaitu untuk anak-anak berjaya tetapi lebih daripada itu, kita mahu mereka membesar dengan selamat dan bahagia.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang pelajar tingkatan tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam satu sidang media berkata kematian seorang pelajar lelaki berkenaan disahkan akibat daripada jerutan di leher.
Beliau berkata, keputusan itu diperolehi hasil bedah siasat yang selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping sekitar jam 1 petang pada Khamis. -MG Perak


