Acara renang laut: 40 peserta cedera disengat obor-obor

LUMUT – Kira-kira 40 orang peserta cedera selepas disengat obor-obor ketika menyertai satu acara sukan renang laut terbuka di Pantai Teluk Senangin, pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi itu, peserta terdiri daripada pelbagai peringkat usia sedang menyertai acara berkenaan sebelum serangan obor-obor dikesan berlaku secara serentak di kawasan perairan tersebut.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata, daripada kesemua mangsa, dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa pertama merupakan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, dan beralamat di Kajang, Selangor.

“Sementara mangsa kedua adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, beralamat di Lekir, Manjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua mereka yang cedera telah diberi rawatan awal oleh pasukan APM, Kementerian Kesihatan (KKM), dan pasukan perubatan swasta yang ditempatkan di lokasi acara.

peserta cedera disengat obor-obor renang laut terbuka Teluk Senangin, obor-obor serang peserta, kejadian obor-obor Perak, acara renang laut Malaysia, kes disengat obor-obor, Raja Azlan Muzaffar Shah
Peserta acara sukan renang laut terbuka di Pantai Teluk Senangin sedang menerima rawatan selepas cedera disengat obor-obor. Foto APM Manjung.

Acara tersebut dimulakan seawal jam 8 pagi dengan pelepasan peserta bagi kategori kanak-kanak berusia 9 hingga 10 tahun, dan insiden berlaku dalam tempoh 15 minit pertama perlumbaan.

Program berkenaan turut disertai anakanda Sultan Perak, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dalam kategori lelaki (12 hingga 19 tahun) sejauh tiga kilometer.

Salah seorang peserta yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu dia turut mengalami kecederaan ringan disengat obor-obor.

Wanita yang berusia dalam kalangan 30an itu berkata, dia tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya berjaya menamatkan acara.

“Kejadian itu berada dalam keadaan terkawal, malah pasukan perubatan yang ditempatkan penganjur mengambil langkah pantas memberi rawatan awal kepada mereka yang cedera,” katanya.

Difahamkan acara sukan renang itu disertai lebih daripada 200 peserta pelbagai peringkat umur dari dalam dan luar negeri.

Pengarah program, Saiful Nizam Kamal Arifin ketika dihubungi berkata, kehadiran obor-obor merupakan cabaran semula jadi yang lazim dalam acara renang laut terbuka dan telah ditangani secara profesional.

“Saya sendiri sudah lebih 20 tahun dalam bidang ini dan serangan obor-obor bukan perkara luar biasa.

“Apa yang penting adalah pasukan perubatan kita bersedia dan semua peserta mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.

Beliau mengesahkan, peserta berjaya menamatkan perlumbaan dengan selamat termasuk Raja Azlan Muzaffar Shah yang menyertai kategori remaja lelaki. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bapa, anak cedera terkena sengatan obor-obor di Pantai Teluk Batik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI