KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh daya tahan industri perkayuan di Malaysia.
Timbalan menterinya, Liew Chin Tong berkata, kerajasama itu turut dilakukan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC).
Katanya, inisiatif terbaharu itu dilihat sebagai usaha proaktif untuk membantu pengusaha perkayuan dalam meningkatkan akses ke pasaran baharu yang sekaligus mampu memperkasa sektor ini di peringkat global.
“Selain itu MITI dan KPK turut mengusulkan kepada kerajaan agar tempoh penggajian pekerja asing yang berkemahiran tinggi dalam industri perkayuan dilanjutkan daripada 12 tahun kepada tempoh yang lebih panjang.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan mereka yang telah mempunyai kemahiran yang diperlukan dapat terus menyumbang kepada kemajuan industri perkayuan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Chin Tong, kerajaan juga mengambil pendekatan berbeza dengan tidak lagi menyokong pengambilan pekerja asing tanpa kemahiran secara besar-besaran.
Ia, katanya, berikutan kebimbangan bahawa pengambilan pekerja asing tanpa kemahiran dapat menghalang penggunaan teknologi canggih seperti automasi serta membantutkan peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji pekerja Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut bercadang untuk tidak menggalakkan pelaburan asing yang berintensif buruh terutamanya dalam sektor perabot negara.
“Semua pejabat MIDA di luar negara akan dimaklumkan bahawa sektor perabot Malaysia kini sudah mencapai tahap terkemuka di persada dunia dan tidak lagi memerlukan pelaburan asing.
“MITI turut memberi komitmen untuk menyokong usaha automasi dalam industri perabot dengan harapan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor ini di pasaran global,” katanya.
Tambah beliau, dengan langkah-langkah itu, kerajaan berharap industri perkayuan dan perabot Malaysia akan terus berkembang pesat, memacu inovasi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan. – MalaysiaGazette