IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik keputusan Selangor untuk mencadangkan tiga sukan tambahan iaitu petanque, Muay Thai dan silambam bagi dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, cadangan itu merupakan satu kejayaan buat peminat dan penggiat sukan terbabit untuk menyaksikan penyertaan semula acara berkenaan dalam SUKMA.
Menurutnya, selain menjadi pemangkin motivasi kepada atlet, perkembangan itu juga bakal menjadi batu loncatan untuk kontinjen Perak memperbaiki kedudukan berbanding edisi terdahulu di Sarawak, sekiranya ia dimuktamadkan.
“Bagi pihak Majlis Sukan Negeri (MSN), sudah pasti kita berlapang dada dan gembira apabila ketiga-tiga sukan yang pernah dicadangkan Perak sebelum ini kini kembali tersenarai.
“Malah jika dilihat kepada rekod lampau, sukan petanque, Muay Thai dan silambam antara penyumbang utama pungutan pingat bagi kontinjen Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Most In-House Retail Stores in a Computer Training Academy 2025’ kepada pusat latihan swasta, LSP Pro Skill Academy di Hotel MH Ipoh, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan negeri itu akan mencadangkan tiga sukan tambahan iaitu petanque, Muay Thai dan silambam untuk dipertandingkan pada SUKMA 2026.
Cadangan itu dijangka dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam masa terdekat, memandangkan tarikh akhir pemuktamadan acara ialah pada atau sebelum 15 Ogos ini.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa beberapa acara seperti silambam, petanque dan Muay Thai telah digugurkan daripada senarai awal temasya sukan berkenaan.
Mengulas lanjut, Khairudin berkata, masih terlalu awal bagi pihak kerajaan negeri untuk menetapkan sebarang sasaran jumlah pungutan pingat pada SUKMA akan datang.
Jelas beliau, perkara itu perlu dibincangkan bersama pengurusan MSN, wakil persatuan sukan dan pihak berkepentingan lain sebelum memuktamadkan sebarang sasaran realistik.
“Kita perlu meneliti dahulu perkembangan ini kerana ia masih di peringkat cadangan. Kita juga perlu mengetahui berapa acara atau kategori yang bakal dipertandingkan nanti,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Khairudin menyaksikan Majlis Penyampaian Sijil MBOR oleh Perunding Rekod, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Pengasas LSP Pro Skill Academy, Dr Desmond Lee.
Pengiktirafan itu diberikan selepas institusi swasta itu diumumkan sebagai mempunyai cawangan pusat latihan kemahiran komputer paling banyak di Malaysia iaitu lapan cawangan di Perak, dengan jumlah 100 pelajar. – MG Perak
Artikel Berkaitan: