IPOH – Persidangan Dewan Belia Negeri Perak tahun ini membentangkan 11 usul utama meliputi pendidikan, ekonomi, sosial, pelancongan, teknologi, kelestarian alam sekitar, perumahan dan perkahwinan belia selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mesyuarat itu melibatkan 63 Ahli Dewan Belia yang dipilih daripada 162 calon melalui proses pemilihan berdasarkan potensi kepimpinan, pemikiran kritis, kefahaman isu semasa, komunikasi dan kreativiti menyelesaikan masalah.
“Penganjuran Dewan Belia Negeri Perak merupakan platform rasmi untuk menyampaikan suara dan aspirasi anak muda secara berstruktur, selain memupuk kepimpinan berwibawa, berintegriti dan berdaya saing.
“Sejak penubuhannya pada 2015, Dewan Belia menjadi penghubung antara golongan belia, agensi kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pihak berkepentingan.
“Setiap usul yang dibentangkan di persidangan dewan ini akan dikumpulkan mengikut portfolio Exco dan dinilai untuk dilaksanakan bergantung kepada kelulusan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; dan Speaker Dewan Belia Perak, Mohd Azian Zaidi.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius setiap usul yang dikemukakan, dan akan menilai pelaksanaannya berdasarkan keutamaan serta potensi memberi manfaat kepada rakyat.
“Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh anak muda ini menjadi bukti bahawa mereka bersedia menjadi sebahagian daripada proses pembentukan dasar negeri.
“Selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, penglibatan aktif anak muda melalui Dewan Belia akan terus mengangkat peranan mereka sebagai rakan strategik penting dalam membangunkan negeri secara mampan, progresif dan inklusif,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: