Hassan bimbang ada tangan ghaib kawal keputusan dalam negara

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bimbang wujud situasi deep state iaitu adanya ‘tangan-tangan ghaib’ yang berkuasa mengawal keputusan dalam negara ini.

Beliau berkata, perkara tersebut mesti dielakkan serta tidak mahu kes yang mencetuskan kebimbangan dan mendapat perhatian awam baru-baru ini tidak diambil tindakan segera atau sewajarnya.

Sebagai contoh katanya, kes Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dilaporkan maut terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan terbaharu anak Datuk Seri Rafizi Ramli diserang dua individu menaiki motosikal di pusat beli-belah di Putrajaya, Rabu lalu.

“Kita tak salahkan menteri sekarang kerana mereka baru lagi, ini perkara (kes buli dan ugut) yang dah berpuluh tahun (berlaku) tetapi cara tangani dan bertindak.

“Pertama jangan cuba sembunyikan masalah, hadapi dan bertindak, walaupun ada pihak marah tetapi kita perlu tegas dan jelaskan (dedahkan) semua.

“Saya desak satu siasatan telus, tak boleh biarkan mana-mana individu, ahli Parlimen dan keluarganya diancam,” katanya ditemui selepas memberi sumbangan kepada asnaf di Kampung Bendahara di sini hari ini.

Hassan berkata, Malaysia bukan negara mafia dan mempunyai undang-undang sekali gus apa yang berlaku menjadi cabaran besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendirian Anwar dalam menangani masalah itu katanya, adalah betul namun pihak berkuasa perlu mengambil tindakan pantas dan tidak hanya menunggu arahan.

“Ahli politik, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan orang ramai yang bersuara (supaya ambil tindakan), pihak berkuasa yang jaga keamanan jangan tunggu PM cakap baru gerak, tapi ikut SOP (prosedur operasi standard) sedia ada.

“Kita tidak mahu kes-kes seperti ini senyap begitu sahaja, kita tuntut kepakaran polis untuk tangani kejadian ini,” tegasnya.

Hassan berkata, sekiranya kes-kes berkenaan tidak cepat ditangani dibimbangi wujud persepsi terdapat tangan ghaib di negara ini yang memainkan peranan.

Beliau tidak mahu rakyat seperti merasakan negara ini sudah tidak selamat termasuk di kawasan sekolah apabila berlaku kes Zara Qairina walaupun kes seperti itu terpencil.

Dalam kes ugutan terhadap Rafizi katanya, melihatkan perkembangan politik negara seperti mundur ke belakang apabila cara tersebut digunakan untuk menutup mulut daripada bersuara lantang.

“Ugutan terhadap Rafizi ini telah menjadikan politik Malaysia kebelakang, insiden-insiden lain turut merosakkan imej negara bukan sahaja pada mata rakyat, tetapi juga masyarakat antarabangsa,” jelasnya lanjut.

“Ahli Parlimen akan rasa tidak selamat, apabila bercakap kena hati-hati. Saya dukacita dengan perkembangan seperti ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI