Perak sasar mandulkan 1,000 kucing, anjing tahun ini

IPOH – Perak menetapkan sasaran memandulkan 1,000 ekor kucing dan anjing sepanjang tahun ini menerusi program ‘Perak Pawsitive Initiative’ dalam usaha membendung isu haiwan di jalanan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, meskipun berhadapan cabaran namun beliau optimis bahawa angka itu mampu dicapai menjelang Disember tahun ini.

“Setakat ini kita sudah berjaya mencapai lebih daripada separuh jumlah sasaran yang ditetapkan.

“Oleh itu saya yakin ia dapat direalisasikan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan komuniti melalui platform ‘Friends of Pawsitive’ yang kita perkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Perak Pawsitive Initiative Tahun 2025 Daerah Kinta di Dewan Bulan Sabit Merah, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jenny Choy Tsi Jen.

Perak Pawsitive Initiative 2025 haiwan jalanan Perak, pemandulan kucing dan anjing, NGO haiwan Perak, feeders mapping, Sandrea Ng Shy Ching
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Perak Pawsitive Intiative Tahun 2025 Daerah Kinta di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah, Ipoh, pada Ahad.

Perak Pawsitive Initiative merupakan program kerajaan negeri yang digerakkan sejak tahun lalu dengan melaksanakan aktiviti termasuk kempen kesedaran dan pemandulan bersubsidi terhadap haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Mengulas lanjut Sandrea berkata, program peringkat Daerah Kinta yang berlangsung selama lima hari itu mendapat reaksi positif daripada orang ramai apabila ia berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Pada asalnya, kita menyasarkan 100 ekor kucing dan 200 ekor anjing di daerah Kinta dimandulkan di bawah program ini

“Namun, hasil kerjasama semua pihak, kita berjaya mencapai rekod 122 ekor kucing dan 203 ekor anjing,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, di bawah program sama turut diperkenalkan projek ‘feeders mapping’ iaitu pemetaan sukarelawan pemberi makanan haiwan jalanan supaya peranan mereka lebih tersusun.

Sandrea memberitahu, melalui usaha itu mereka yang terlibat akan menjadi mata dan telinga kerajaan di lapangan terutama dalam isu kebajikan membabitkan kucing dan anjing jalanan.

Perak Pawsitive Initiative 2025 haiwan jalanan Perak, pemandulan kucing dan anjing, NGO haiwan Perak, feeders mapping, Sandrea Ng Shy Ching
Antara anjing peliharaan yang dibawa program Perak Pawsitive Intiative Tahun 2025 Daerah Kinta di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah, Ipoh, pada Ahad.

“Mereka yang terlibat juga boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada kita tentang sebarang isu berkenaan haiwan jalanan

“Melalui rangkaian ini, kita akan memperkukuh sokongan akar umbi dalam usaha kolektif merangka penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Selain itu beliau turut mengumumkan penyertaan empat lagi NGO baharu dalam rangkaian Friends of Pawsitive menjadikan lapan NGO kini berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam usaha tersebut.

NGO berkenaan adalah Persatuan Pencinta Haiwan Gopeng (PPHG); ⁠Persatuan Pencinta Haiwan Jalanan Kampar; Persatuan Pencinta Haiwan Taiping Perak serta Pertubuhan Perlindungan Haiwan Terbiar Ipoh. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tuanku Zara Salim berkenan rasmi Perak Pawsitive Initiative Daerah Kinta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI