PARIT – Kerajaan Perak bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa memberi keutamaan kepada isu buli dalam kalangan pelajar dengan mengambil langkah serius bagi menanganinya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pemantauan sering dilakukan JPN bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan hasilnya tiada kes buli serius direkodkan di sekolah-sekolah di negeri ini.
Beliau berkata, kejadian buli yang pernah dilaporkan sebelum ini berjaya ditangani dengan berkesan oleh pihak sekolah melalui laporan segera serta tindakan intervensi yang dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kita tidak mahu kejadian tragis yang menimpa Allahyarham Zara Qairina berulang di Perak. Alhamdulillah, setakat ini kes buli di negeri ini belum di tahap membimbangkan dan berjaya ditangani dengan baik hasil tindakan segera pihak sekolah, PPD dan JPN.
“Saya yakin kepimpinan sekolah khususnya pengetua dan guru besar sentiasa mengambil inisiatif terperinci bagi membendung masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubilee Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, di sini, pada Selasa.
Ditanya mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa khas seperti yang dilakukan kerajaan Johor, Khairudin berkata, Perak sudah menubuhkan jawatankuasa anti-buli di peringkat negeri dan daerah sejak sekian lama.
Jelas beliau, di peringkat negeri, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, manakala di daerah ia diketuai pegawai pendidikan daerah.
“Setiap PPD ada mekanisme pemantauan termasuk melakukan pemeriksaan mengejut di asrama pada waktu malam untuk memastikan suasana pembelajaran dan disiplin pelajar terkawal.
“Selain itu, kita turut libatkan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan serta agensi berkaitan untuk memberi pandangan dan kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.
Baginda bertitah, gejala buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat awal, berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan. -MG Perak