Kerajaan bincang keperluan gubal Akta Antibuli guna sistem tribunal – PM

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membawa keperluan bagi menggubal undang-undang Akta Antibuli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes sedemikian membabitkan pelajar dan kanak-kanak ke mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mesyuarat Kabinet akan datang untuk dibincangkan dan diputuskan.

“Nanti dia (Azalina) akan bawa ke Kabinet. Kita bincang di Kabinet,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di Kompleks Kementerian Kewangan hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Semalam, Azalina berkata, kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak.

Beliau menjelaskan, ketika ini, tiada undang-undang khusus yang memperuntukkan kesalahan buli sebaliknya kes berkenaan dikendalikan menggunakan peruntukan Kanun Keseksaan serta undang-undang lain yang sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, timbul kebimbangan yang disuarakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam kebanyakan kes, pelaku dan mangsa adalah sama-sama kanak-kanak, justeru peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 terpakai terhadap mereka.

Azalina berkata, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada proses perundangan yang ada kini sesuai untuk menangani isu buli kanak-kanak atau perlu diwujudkan mekanisme lain yang lebih khusus.

“Ia sesuatu yang perlu dibincangkan oleh Kabinet, sama ada terdapat keperluan untuk melihat kepada proses lain dalam hal membabitkan buli kanak-kanak dan menggunakan sistem tribunal seperti bawah Akta Antigangguan Seksual,” jelasnya.

Untuk rekod, kes buli di sekolah semakin mendapat perhatian masyarakat selepas beberapa kejadian tular di media sosial melibatkan pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.

Malah Kementerian Pendidikan pada 2023 merekodkan lebih 3,000 aduan kes buli di sekolah, termasuk kes membabitkan keganasan fizikal, ugutan dan buli siber.

Cadangan menubuhkan tribunal khas dilihat mampu menyediakan platform alternatif selain mahkamah bagi memastikan kes-kes berkenaan dapat diselesaikan dengan lebih cepat, adil dan mesra kanak-kanak.

Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh undang-undang perlindungan kanak-kanak seiring dengan pendekatan Madani yang menekankan nilai belas ihsan dan keselamatan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI