IPOH – Pembuangan sampah haram di sebuah kolam tadahan bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh di sini, didakwa menjadi punca sistem saliran tersumbat sehingga menyebabkan banjir setiap kali hujan lebat.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku selepas kolam tadahan itu dikatakan lenyap sejak beberapa tahun lalu akibat timbunan sisa bahan binaan di kawasan tersebut.
Difahamkan, masalah yang berlaku sejak lima tahun lalu itu turut menggusarkan lebih 2,000 penduduk yang tinggal di kampung berkenaan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, berdasarkan rekod kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kolam tadahan bagi kegunaan kawasan kediaman kampung pada tahun 2019.
Bagaimanapun, beliau berkata, kawasan tersebut telah diceroboh dan menjadi tapak pembuangan sampah khususnya sampah pembinaan sehingga kolam yang dibina sudah tidak kelihatan.
“Keadaan ini telah membawa masalah kepada penduduk tempatan, antaranya apabila ia menjadi tapak pembuangan sampah kebakaran kerap berlaku dan membahayakan penduduk sekitar.
“Selain itu, pembuangan sampah ini juga telah menyebabkan sistem saliran yang asalnya ada telah tersumbat dan tidak dapat berfungsi.
“Ini menyebabkan kubur yang berada di sebelah tapak ini tenggelam waktu hujan, musim hujan dan merumitkan kehidupan seharian yang penduduk,“ katanya sewaktu mengadakan lawatan ke kawasan tersebut semalam.
Beliau berkata, kehadirannya bersama beberapa jabatan berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah untuk mengumpul maklumat untuk tindakan seterusnya.
Dalam pada itu, Sandrea memaklumkan pihaknya juga akan mengkaji cadangan untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi rekreasi bagi penduduk setempat.
“Kita juga akan semak balik dari segi pewartaan yang telah diluluskan. Baru-baru ini juga terdapat cadangan daripada pihak pusat khidmat wakil rakyat untuk tapak ini dipertimbangkan sebagai tapak rekreasi memandangkan kolam yang asal sudah ditambak.
“Sehubungan itu, kita berharap melalui tindakan pemantauan dan penguatkuasaan, kita dapat mengesan pihak yang terlibat dengan pembuangan sampah dan seterusnya menghentikannya sebelum diteruskan dengan perancangan penggunaan tapak ini bagi jangka masa panjang,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: