MBI kenal pasti 140 ‘hotspot’ sampah haram, 1,151 kompaun dikeluarkan

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperhebat usaha memerangi aktiviti pembuangan sampah haram apabila sebanyak 140 lokasi ‘hotspot’ dikenal pasti bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menerusi satu kenyataan, MBI berkata, bagi tempoh tersebut, sebanyak 1,151 tawaran kompaun berjumlah RM306,050 telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan melibatkan pembuangan sampah haram.

“Sejak tahun 2021 hingga Julai 2025, MBI turut melaksanakan langkah proaktif dengan mengagihkan 144,680 unit tong sampah percuma kepada penduduk di seluruh zon Ahli Majlis.

“Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, 80 papan tanda utama dan 431 papan tanda kecil larangan pembuangan sampah haram telah dipasang di lokasi strategik sekitar Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBI kenal pasti 140 hotspot sampah haram, 1,151 kompaun dikeluarkan
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah merasmikan Program Perak Bersih dan Sihat (Perak Best 2.0) 2025 bertemakan ‘Memerangi Hotspot Sampah Haram’ di Jalan Chepor 11/5, Kawasan Perusahaan Seramik, Chepor, Ipoh pada Jumaat. Foto Majlis Bandaraya Ipoh

Katanya, MBI turut mengadakan Program Perak Bersih dan Sihat (Perak Best 2.0) 2025 bertemakan ‘Memerangi Hotspot Sampah Haram’ di Jalan Chepor 11/5, Kawasan Perusahaan Seramik, Chepor, di sini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

“Program ini adalah inisiatif Local Agenda 21 (LA21) yang menekankan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, masyarakat, dan sektor swasta dalam merancang serta menguruskan persekitaran ke arah pembangunan mampan serta peningkatan kualiti hidup.

“Fokus utama adalah membanteras pembuangan sampah haram dan memperkukuh amalan kebersihan awam, seiring aspirasi menjadikan Ipoh sebagai bandaraya bersih, sejahtera dan bestari.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pembersihan lokasi sampah haram dan pemasangan papan tanda kesedaran ‘Perangi Sampah Haram’.

MBI kenal pasti 140 hotspot sampah haram, 1,151 kompaun dikeluarkan
Pekerja am MBI melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi sampah haram. Foto Majlis Bandaraya Ipoh

“Kerja pembersihan awam seperti penyapuan jalan dan kutipan sampah pukal, edaran risalah larangan membuang sampah, serta pemeriksaan jentik-jentik dan aktiviti pengasapan (fogging) turut diadakan pada program itu,” ujarnya,

MBI turut menegaskan komitmennya untuk merealisasikan aspirasi Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030.

“Sehubungan itu, masyarakat serta pihak swasta diseru untuk berganding bahu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membanteras isu sampah haram demi kesejahteraan bersama,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI laksana operasi meroboh struktur binaan tanpa kelulusan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI