IPOH – Mayat seorang mak nyah dipercayai dibunuh ditemui di lorong berdekatan Jalan Horley, Kampung Jawa di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian disedari sekitar jam 6 pagi apabila seorang pekerja hotel memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuan seorang lelaki lengkap berpakaian dan terbaring tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan serius di bahagian kepala dan belakang badan.
“Siasatan lanjut ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar oleh sebuah lori bonded warna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek pada jam 4.24 pagi.
“Mangsa kemudiannya jatuh di hadapan kenderaan tersebut sebelum digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian.
“Pihak polis telah mengenalpasti pemilik serta pemandu lori berkenaan dan mereka sedang dikesan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala dan dada akibat perlanggaran jalan raya.
“Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mahani Mohammed di talian 019-2618221 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: