600,000 lagi transaksi SARA disempurnakan setakat pukul 5 petang tadi – MyKasih

KUALA LUMPUR – Hampir 600,000 lagi transaksi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disempurnakan orang ramai setakat pukul 5 petang hari ini, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah transaksi pada waktu sama semalam.

MyKasih dalam satu kenyataan memaklumkan, ia menjadikan jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA sejak semalam mencecah 1.45 juta transaksi, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta di seluruh negara.

Menurutnya, susulan lonjakan jumlah transaksi pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan SARA semalam juga, MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan terminal SARA sebanyak 60 peratus bagi memastikan transaksi hari ini dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Pasukan teknikal kami terus memantau prestasi sistem secara aktif dan sedang mengambil tindakan segera untuk menambah baik keupayaan sistem secara berterusan,” katanya menerusi laman sosial Facebook MyKasih Foundation hari ini.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.

Katanya, beberapa pasar raya besar di kawasan bandar yang mencatat bilangan penerima SARA yang tinggi mengalami kesesakan, terutama semasa waktu puncak antara pukul 1 hingga 2.30 petang.

Jelasnya, keadaan itu mungkin berpunca daripada jumlah pembeli yang tinggi sempena cuti hujung minggu yang panjang.

Menurutnya, selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima kredit one-off RM100 semalam, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA hari ini.

“Bagi menguruskan situasi ini, staf MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar terpilih bagi membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada para peniaga,” katanya.

Tambah kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak seperti pagi pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.

“Kredit RM100 Penghargaan SARA ini sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI