IPOH – DAP menyambut baik hasrat UMNO berhubung penubuhan Pasukan Khas bagi menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Timbalan Pengerusi DAP merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya terbuka menerima pandangan daripada semua pihak, termasuk parti komponen kerajaan dan pembangkang.
“Sekiranya pendapat itu adalah jujur dan ikhlas, kami sedia untuk berbincang. Apa-apa idea yang bernas itu memang kita akan terima pakai.
“Dan ini adalah ‘nawaitu’ atau niat kementerian yang bersifat murni, kerana memang kita hendak mewujudkan akta ni supaya dapat membantu rakyat. Oleh sebab itu semua pihak harus datang bersama (beri pandangan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan empat Taman Rekreasi MADANI di sini, pada Sabtu.
Media pada Khamis melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU berkenaan secara terperinci sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini.
Namun pada masa sama, Kor Ming turut mempersoalkan tindakan kepimpinan pembangkang khususnya dari empat negeri di bawah gabungan State Government Four (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang menolak RUU PSB secara total.
Beliau menjelaskan, kementerian telah mengadakan 108 sesi libat urus sebelum ini berhubung RUU berkenaan dengan pelbagai pihak, selain tiga kali diluluskan di peringkat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT).
“MNKT dianggotai semua menteri besar dan Exco termasuk dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Kedah mewartakan 55 kawasan PSB, Terengganu (22), manakala Kelantan (empat).
“Oleh itu, yang mencadangkan kerajaan negeri, yang bersetuju kerajaan negeri, yang mewartakan kerajaan negeri, namun yang membantah pun mereka juga. Macam mana logik dia,” katanya lagi.
Justeru itu beliau berkata, semua pihak diminta supaya tidak mempolitikkan usaha kerajaan dalam hendak menambah baik kawasan kediaman rakyat yang daif dan usang.
Dalam perkembangan sama, Kor Ming menyifatkan cadangan menukar ruang pejabat kosong kepada kediaman sebagai langkah baik untuk menghidupkan semula bangunan-bangunan lama di bandar raya besar.
Jelas beliau, usaha itu juga mampu memberi nilai tambah kepada bandar raya itu sendiri dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menghidupkan kembali suasana perbandaran.
Ujar beliau, bagaimanapun perkara itu masih memerlukan kerangka undang-undang baharu melalui penggubalan RUU PSB.
“Sekiranya Akta PSB diluluskan kelak, kerajaan boleh menggubal peraturan bagi memberi insentif kepada pihak yang berusaha menghidupkan semula bangunan usang atau daif.
“Di Ipoh contohnya, kita ada Pangsapuri Waller Court yang pernah digelar rumah pangsa paling panjang di Asia Tenggara. Semua boleh lihat keadaannya hari ini (terlalu usang).
“Kita memang mahu bantu (naik taraf kawasan kediaman itu), tetapi ia sangat sukar tanpa mekanisme undang-undang yang jelas. – MG Perak
Artikel Berkaitan: