IPOH – Polis menahan tiga lelaki dipercayai ahli sindiket penipuan atas talian yang berperanan merekrut individu sebagai ‘keldai akaun’ dalam operasi khas di sini dan Pandan Indah, Selangor.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan berkenaan dibuat susulan seorang suri rumah berusia 58 tahun menjadi mangsa sindiket berkenaan dan kehilangan wang berjumlah RM240,000.
“Suspek menyamar sebagai pihak berkuasa dan mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti jenayah kewangan sehingga mangsa ketakutan dan menyerahkan kad ATM miliknya.
“Bertindak atas maklumat dan risikan pada 3 September pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kampar telah menjalanlan operasi khas di Ipoh, Perak dan Pandan Indah, Selangor,” katanya.
Noor Hisam berkata, induvidu yang direkrut sebagai keldai akaun akan membuka akan digital bank sebelum disalahgunakan oleh sindiket penipuan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini membayar sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap akaun yang berjaya dibuka menggunalan butiran peribadi pelanggan.
“Semua suspek berusia 23 hingga 27 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 (B) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak pernah membuat panggilan telefon bagi mengarahkan pemindahan wang atau penyerahan barang kemas.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan akaun bank, nombor pin atau kata laluan kepada pihak lain, kerana pemilik akaun boleh ditangkap dan didakwa di bawah undang-undang sekiranya akaun tersebut digunakan untuk jenayah. -MG Perak