IPOH – Seorang anggota polis berpangkat konstable cedera selepas ditembak dan ditikam dalam satu insiden cubaan bunuh di kawasan kebun kelapa sawit Simpang Pulai, dekat sini awal pagi Ahad.
Dalam kejadian sama, pasukan polis turut menemukan mayat seorang wanita di dalam sebuah kereta di lokasi sama.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Taman Desa Pakatan.
Katanya, anggota polis yang bertugas mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dan cuba menahannya.
Ujar beliau, bagaimanapun suspek bertindak melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan kebun kelapa sawit.
“Dalam usaha melakukan tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis terlibat.
“Suspek merampas sepucuk pistol milik anggota polis yang berusia 26 tahun itu sebelum melepaskan tembakan yang mengenai bahagian perut mangsa.
“Selain itu, mangsa juga turut ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama senjata api tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Noor Hisam memberitahu, anggota polis terbabit kini dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang ditinggalkan suspek kemudian menemukan mayat seorang wanita di tempat duduk belakang.
“Proses bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian wanita berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas dan kes disiasat di bawah Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 012-2500019.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah serius dan usaha sedang dipertingkatkan bagi memastikan suspek ditangkap dalam kadar segera,” tegas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga lelaki rekrut keldai akaun ditahan polis