IPOH – Seramai 1,254 pelajar berisiko cicir dikesan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.
Menurut Khairudin, pelajar-pelajar yang dikenal pasti berisiko menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti sekolah seperti masalah disiplin, kehadiran yang tidak menentu atau masalah akademik.
“Murid cicir merujuk kepada sesiapa sahaja yang terkeluar daripada laluan pendidikan formal, sama ada secara sukarela atau tidak, dan tidak lagi mendapat manfaat daripada pengajian.
“Jumlah murid berisiko cicir 2025 di Perak adalah seramai 1254 orang dengan murid sekolah rendah seramai 231 orang dan pelajar sekolah menengah 1,023 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Tambah Khairudin, tidak berminat ke sekolah menjadi faktor utama pelajar keciciran diikuti dibuang sekolah dan bekerja.
“Faktor keciciran tertinggi ialah ‘tidak minat’ seramai 334 orang, buang sekolah (230) dan bekerja (86),” katanya.
Khairudin turut mendedahkan seramai seramai 743 orang pelajar keciciran di negeri ini pada 2025 melibatkan 72 pelajar sekolah rendah dan 565 sekolah menengah, manakala seramai 133 orang pelajar cicir berjaya dibawa kembali ke sekolah.
“Bagi memastikan keciciran ini dapat di atasi dan dicegah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melaksanakan beberapa program yang berkaitan antaranya Red Flag Risiko Cicir (RFRC) yang mengesan murid berisiko cicir dengan lebih awal agar intervensi dapat dijalankan dengan segera.
“Dalam pelaksanaan RFRC ini, peratus kehadiran keseluruhan murid di Perak terus meningkat daripada 90.22 peratus pada tahun 2023 kepada 91.29 peratus pada tahun 2024 dan 92.69 peratus sehingga akhir Ogos 2025.
“Selain itu, dialog prestasi berfokus kehadiran JPN-Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dilakukan dalam usaha mendayakan PPD dalam meningkatkan prestasi kehadiran sekolah dan dialog prestasi berfokus kehadiran JPN – Sekolah,” katanya.
Khairudin berkata, bagi menimbulkan minat murid ke sekolah, JPN telah menjalankan program dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) bagi memberi peluang dan pendedahan maklumat berkaitan kerjaya.
“Program ini menyediakan maklumat berkaitan institusi TVET negeri Perak yang
mana pelajar cicir atau kurang berminat dengan akademik boleh terus mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di institusi-institusi terlibat.
“Selain itu, inisiatif Propulih 2.0 Perak Sejahtera 2025 dilakukan sebagai usaha meningkatkan penguasaan literasi dan mengurangkan kadar keciciran akademik dalam kalangan murid.
“Bagi murid lemah literasi dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Propulih 1.0 yang dilancarkan tahun lepas menyasarkan pelajaran peralihan di peringkat sekolah menengah,” katanya. -MG Perak