GERIK – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap di anak sungai di Rengat, Temenggor dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu daripada anggota Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 9.10 pagi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mayat lelaki itu ditemukan oleh seorang lelaki Orang Asli ketika berada di lokasi kejadian pada jam 8.25 pagi.
“Pengadu terus bergegas ke Pengkalan Trojen untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak Polis Bantuan TNB.
“Hasil pemeriksaan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Abdul Samad berkata, mayat terbabit telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis siasat penemuan mayat dibungkus tersangkut pada pokok tumbang