Wanita warga emas rugi lebih RM5 juta akibat pelaburan kripto palsu

IPOH – Polis Perak sedang menyiasat kes penipuan pelaburan tidak wujud yang melibatkan kerugian lebih RM5 juta selepas menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia lingkungan 60-an.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa yang bekerja dalam bidang profesional itu dipercayai telah diperdaya melalui platform pelaburan mata wang kripto tidak wujud dikenali sebagai ELFTV.

Menurutnya, platform itu diperkenalkan kepada mangsa melalui media sosial Facebook serta kumpulan pelaburan atas talian dikenali sebagai AB4 Trend Navigation.

“Siasatan awal mendapati transaksi pertama dibuat pada Julai tahun ini berjumlah RM10,000 manakala transaksi terakhir dilakukan pada Ogos lalu dengan keseluruhan jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM5,030,970.

“Modus operandi sindiket adalah dengan meyakinkan mangsa melalui paparan keuntungan awal dalam sistem pelaburan.

“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noor Hisam berkata, bagaimanapun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang pokok serta keuntungan, transaksi tidak berjaya dan akses kepada platform tersebut telah disekat.

“Mangsa yang berasa curiga membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang kemudiannya mengesahkan platform pelaburan itu tidak berdaftar serta tersenarai sebagai entiti pelaburan tidak sah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mendedahkan maklumat peribadi termasuk Salinan kad pengenalan kepada pihak tidak dikenali kerana ia boleh disalahgunakan oleh penjenayah,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mayat bayi ditemukan di persisiran sungai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI