KUALA LUMPUR – Polis menerima empat laporan polis mengenai ugutan melibatkan video lucah berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang diterima beberapa ahi politik baru-baru ini.
Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan motif ugutan tersebut.
Katanya, polis juga sedang meneliti semua kemungkinan termasuk unsur kewangan, politik termasuk niat jahat di sebalik uguran berkenaan.
“Untuk makluman semua kita terima 10 perkara yang berkaitan dengan isu ugutan siber tetapi cuma empat sahaja yang membuat laporan polis. Jadi kita sedang menyiasat perkara ini, segala perkembangan akan kita maklumkan kepada pihak yang berkaitan.
“(Adakah ia bermotifkan politik?) Masih dalam siasatan, sebab isu-isu yang begini kadang-kala ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan untuk membuat sesuatu ugutan kepada individu tertentu bagi tujuan kewangan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekurang-kurangnya seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima e-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan AI, selain menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000).
Ahli politik yang menerima e-mel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Wong Chia Zen; dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Menerusi video ugutan yang diterima Jumaat lalu, mereka didakwa tidur bersama seorang lelaki. – MalaysiaGazette