Kematian Syamsul Haris: Mahkamah keluar perintah interim Menteri, MINDEF dihalang keluar kenyataan

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah interim melarang Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Syamsul Haris Shamsudin.

Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas menerima makluman aku janji daripada Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek yang mewakili Menteri Pertahanan dan kementerian berkenaan dan menetapkan 26 Sept depan sebagai pengurusan kes.

“Arahan mahkamah ialah untuk Puan Roziza mendapatkan pengesahan berkenaan aku janji daripada kementerian… sementara menunggu pelupusan kes ini, (Menteri Pertahanan dan) Kementerian Pertahanan Malaysia (diberi perintah interim) untuk tidak menerbitkan sebarang bentuk kenyataan…,” katanya.

Sebelum ini, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, melalui peguam Datuk Naran Singh, memohon perintah larangan supaya kedua-dua responden tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan di media sementara menunggu keputusan penuh siasatan polis dan bedah siasat kedua anaknya.

Media sebelum ini melaporkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pelatih Palapes UTM Skudai itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lepas membenarkan permohonan keluarga Allahyarham untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI