Rancang perluas Program Remaja Dinamik atasi masalah buli

IPOH – Pertubuhan Kasih Kita Negeri Perak merancang memperluaskan penganjuran Program Remaja Dinamik di seluruh negara sebagai inisiatif menanggani masalah buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengerusinya, Rosdziah Mohd Zainuddin berkata, program bertemakan ‘Mencipta Transformasi Diri ke Arah Kecemerlangan’ itu bukan sekadar menanggani buli malah mencungkil potensi remaja, membina jati diri, menyuburkan akhlak, serta memberi pendedahan awal terhadap laluan kerjaya masa depan.

“Memang saya berhasrat untuk teruskan program ini dan jika diberikan sokongan serta dana saya akan laksanakan di seluruh Malaysia.

“Ini kerana banyak kes buli hingga melibatkan kematian jadi kita mahu beri kesedaran kepada remaja sekarang untuk membendung buli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Remaja Dinamik ‘Mencipta Transformasi Diri ke Arah Kecemerlangan’ di Tingkat Valley, di sini pada Jumaat.

Rosdziah Mohd Zainuddin

Mengulas mengenai penganjuran pertama Program Remaja Dinamik bermula Rabu hingga hari ini, Rosdziah berkata, ia disertai seramai 50 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.

Menurut beliau, program dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut berjaya menarik penyertaan dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selain pelajar dari Parlimen Tambun.

“Program ini diadakan sempena cuti sekolah dan mendapat sokongan JKM melibatkan 50 peserta di mana mereka ini adalah anak- golongan asnaf serta ada peserta orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.

“Alhamdulillah sepanjang kursus ini mula peserta diberi pendedahan mengenai jati diri, transformasi diri dan bagaimana untuk menjadi seorang yang cemerlang selain membenci perbuatan membuli,” katanya.

Rosdziah turut berharap program berkenaan menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi belia yang berdisiplin, berakhlak mulia, dan berdaya saing tinggi. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI