IPOH – Lebih 3,000 pengunjung membanjiri perkarangan Stadium Indera Mulia di sini sempena program Malam Taqarrub bersama Anak Muda yang sempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025, malam tadi.
Program yang bermula seawal jam 9 malam itu turut dihadiri Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhamad Hasif Hamzah sebelum diteruskan dengan sesi Sembang Santai bertajuk, ‘Media Sosial dan Dosa Digital’.
Sesi tersebut dikendalikan artis popular, Nabil Ahmad sebagai moderator serta menampilkan panel pendakwah terkenal, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf.
Malam berkenaan turut diserikan dengan selingan persembahan kumpulan Indraloka Akustik yang mendendangkan lapan buah lagu nasyid popular antaranya Summayyah, InshaAllah dan Sesungguhnya.
Penganjuran program itu bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan dengan golongan muda, malah sebagai wadah perkongsian ilmu dan hiburan berunsur kerohanian. – MG Perak
Artikel Berkaitan: