IPOH – Waris anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika mempertahankan negara menyifatkan pembinaan Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA sebagai penghargaan bermakna terhadap jasa dan pengorbanan perwira negara yang gugur ketika mempertahankan keamanan.
Bagi waris, tugu berkenaan bukan sekadar mercu tanda peringatan, malah menjadi lambang penghormatan supaya pengorbanan anggota keselamatan terus dikenang dan tidak dilupakan oleh generasi akan datang.
Salah seorang waris kepada wira yang terkorban, Che Hasrunaveca Che Hasnor, 36, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana mengabadikan pengorbanan jasa bapanya menerusi pembinaan tugu tersebut.
Anak tunggal yang hadir dari Melaka bersama ibunya, Rubiah Atong, 63, itu berkata, bapanya, Koperal Che Hasnor Uval meninggal dunia selepas helikopter Nuri yang dinaiki terhempas ketika dalam perjalanan pulang dari Operasi Bamboo kira-kira 37 tahun lalu.
“Sejujurnya saya amat menghargai semua pihak yang melaksanakan tugu ini. Saya amat berterima kasih dan saya mengharapkan ia dapat jadi kenangan kepada kita semua yang mana perwira-perwira kita yang telah terkorban dapat diingati sampai generasi yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa, Briged Utara PGA yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di PGA Ulu Kinta di sini hari ini.

Sementara itu, Rokiah Salle, 64, balu kepada Konstabel Bah Osi Chandran, berkata, dia masih mengingati detik suaminya terkorban akibat terkena jerangkap samar ketika operasi, hanya beberapa hari selepas kelahiran anak bongsu mereka.
Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, pembinaan tugu berkenaan memberi makna yang amat besar kepada keluarga anggota yang terkorban.
“Saya rasa sangat bangga bersyukur jasa mereka dikenang, pengorbanan serta bakti mereka tidak disia-siakan,” ujarnya.
Kedua-dua perwira tersebut antara yang terkorban ketika mengikuti Operasi Bamboo sekitar tahun 1959 hingga 1989 di sekitar Perak, Kedah dan Kelantan.
Operasi tersebut melibatkan sepenuhnya anggota Senoi Praaq kerana kesulitan tugas menjejak dan mengesan pengganas komunis yang tinggal jauh ke dalam hutan di Perak serta Kelantan hanya sesuai dipikul Senoi Praaq yang mahir dengan selok belok hutan.
Rekaan tiga tiang pada tugu ini adalah terjemahan daripada moto rasmi PGA iaitu, ‘Cekal, Berani dan Setia’ manakala Panel Perwira yang Terkorban mengabadikan 68 nama perwira Briged Utara yang telah gugur semasa menjalankan tugas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tugu Satria Perkasa lambang pengorbanan, legasi perwira PDRM
Sultan Nazrin berkenan rasmi Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA


