KUALA LUMPUR – Orang ramai kini boleh menyemak kelayakan mereka bagi menerima subsidi petrol RON95 yang diperkenalkan menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Semakan boleh dibuat di portal rasmi bermula hari ini di http://www.budimadani.gov.my .
Portal tersebut membolehkan warganegara Malaysia dengan lesen memandu sah mengetahui sama ada mereka layak menikmati harga subsidi RON95 di bawah inisiatif BUDI95.
Semakan juga boleh dibuat secara individu di pautan khusus https://www.budi95.gov.my/eligibility-check?type=individual.
Program Budi Madani RON95 (BUDI95) membolehkan setiap rakyat Malaysia menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini.
Seiring dengan pelaksanaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu berkata, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Melalui BUDI95, semua warganegara Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan dan mempunyai lesen memandu yang sah serta aktif akan secara automatik menikmati manfaat tersebut.
Tambah beliau, bagi menjayakan pelaksanaan ini, penggunaan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan, supaya hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat tersebut. – MalaysiaGazette