MTL: JBPM Perak kenal pasti 332 lokasi banjir, 32 hotspot kepala air

IPOH – Sebanyak 332 hotspot banjir dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko bencana antara September hingga awal November depan.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, antara daerah yang mencatatkan hotspot tertinggi adalah di sekitar Kuala Kangsar, Kerian serta Larut, Matang dan Selama.

Menurutnya, Jabatan Meterologi memaklumkan terdapat lebih kurang 1,300 baki hujan yang belum turun di negeri ini dan risiko banjir kilat, pokok tumbang serta tanah runtuh boleh berlaku sepanjang tempoh tersebut.

“Kita sedang memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi musim peralihan cuaca yang berisiko membawa bencana banjir kilat sebelum bermulanya MTL.

“Dalam tempoh musim peralihan ini pihaknya memberi tumpuan kepada persediaan logistik serta memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Persediaan termasuk bot penyelamat kerana dalam keadaan banjir kilat, bot aluminium bomba kurang sesuai digunakan berikutan saiz dan beratnya. Biasanya, banjir kilat melibatkan paras air antara satu hingga dua meter, maka bot fiber lebih sesuai digunakan.

“Justeru, kita bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain termasuk pejabat tanah daerah bagi memastikan kelengkapan seperti bot fiber dapat digembleng bersama sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM di Meru Raya di sini hari ini.

Sayani menegaskan bahawa kesiapsiagaan bukan hanya bergantung kepada JBPM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama bersepadu daripada pelbagai agensi bagi memastikan operasi penyelamatan dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Katanya, musim peralihan yang dijangka berlarutan sehingga sebulan setengah ini memerlukan semua pihak bersedia, terutamanya menghadapi risiko banjir kilat manakala apabila MTL bermula, faktor hujan lebat dan air pasang boleh menyebabkan banjir besar.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih bersedia, khususnya penduduk di kawasan yang sering dinaiki air.

“Saya sarankan masyarakat supaya mengemas barangan penting lebih awal, termasuk dokumen peribadi, ubat-ubatan serta keperluan warga emas.

“Menerusi persediaan awal, mereka (orang ramai) boleh bergerak keluar lebih cepat sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti 32 hotspot berisiko insiden kepala air di negeri ini

“Antaranya termasuklah Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kinjang dan Sungai Lata Iskandar di daerah Batang Padang serta Sungai Chepor Dalam dan Lubok Timah di daerah Kinta.

“Selain itu, terdapat beberapa laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh terutamanya akibat hujan lebat antaranya Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands, Jalan Pengkalan Hulu-Betong, Jambatan Sungai Enggor serta daerah Kinta,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan bencana daripada aktiviti seismik seperti gempa bumi, termasuk membabitkan kawasan berisiko seperti rumah ibadat dalam gua. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MetMalaysia keluar amaran ribut petir, hujan lebat di lima negeri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI