GERIK – Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik, pada Selasa atas dua pertuduhan memindahkan 322 ekor kambing dan biri-biri tanpa kebenaran, di Hulu Perak, pada Mac dan April lalu.
Tertuduh, Muhammad Aizal Afizi Ishak, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan 139 ekor kambing dan 23 biri-biri menggunakan lori jenis Isuzu tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Tertuduh selaku Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Aizal Afizi Ishak, 28, (tengah) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 SEPTEMBER 2025.
Kesalahan itu dilakukan di kilometer 44, Jalan Gerik – Lenggong, kawasan menurun Bukit Sumpitan, Lenggong, dalam daerah Hulu Perak, pada jam 2.15 pagi, 26 Mac 2025.
Sementara bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memindahkan 160 ekor kambing menggunakan kenderaan sama, juga tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Perkara itu dilakukan di Jalan Gerik – Lenggong, hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, dalam daerah Hulu Perak pada jam 12.05 pagi, 10 April 2025.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi Negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647),
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zaem Ab Aziz.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh untuk serahan kes dan menjatuhkan hukuman. – MG Perak
Artikel Berkaitan: