Dapatan WE Fit bantu Perak rangka inisiatif untuk warga emas

IPOH – Program Warga Emas Fit (WE Fit) anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (SPW) adalah salah satu usaha kerajaan negeri bagi memastikan golongan warga emas kekal sihat dari segi fizikal dan mental.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, aspek kesihatan warga emas wajar diberi keutamaan sebelum pembangunan infrastruktur khas untuk golongan itu dapat dilaksanakan.

Menurutnya, hasil dapatan menerusi program ini akan membantu kerajaan negeri merangka inisiatif baharu demi kepentingan warga emas.

“Program ini adalah sebahagian daripada agenda Santunan Kasih kerajaan negeri untuk memastikan tahap kesihatan warga emas berada pada tahap baik.

“Pengisian program merangkumi ceramah serta perkongsian daripada agensi seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), SPW dan rakan strategik antaranya Robust Sport & Physiotherapy Centre serta klinik swasta yang turut menjalankan saringan kesihatan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Antara ujian dijalankan termasuk pengukuran tahap muscle of condition (MOC), keseimbangan otot dan kandungan lemak badan warga emas.

“Kebanyakan warga emas berdepan masalah pengecilan tulang dan kehilangan otot. Melalui saringan ini, kita dapat mengetahui keadaan sebenar kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui di perkarangan Surau Al-Hidayah, Jelapang Jaya pada Khamis.

Dapatan WE Fit bantu Perak rangka inisiatif untuk warga emas
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika meninjau pemeriksaan kesihatan yang dijalankan pada program WE Fit Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di perkarangan Surau Al-Hidayah, Jelapang Jaya pada Khamis. Foto SYAKIR YUSOF

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak, Jamilah Zakaria.

Salbiah memaklumkan setakat ini kira-kira 200 sampel kajian telah diperoleh dan keputusan penuh akan diumumkan sempena sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Perak yang dijangka diadakan pada penghujung Oktober.

“Setakat ini, respon dan bacaan yang diterima menunjukkan tahap kesihatan warga emas adalah positif,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa memastikan kebajikan warga emas terbela melalui pelbagai bantuan, antaranya bantuan RM600 sebulan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Menerusi inisiatif Perak Sejahtera di bawah SPW, daripada hampir 20,000 penerima manfaat, kira-kira 50 peratus adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas,” jelasnya.

Program WE Fit akan diadakan di sembilan lokasi sekitar Perak bermula 14 September lalu di Gerik dan dijangka berakhir pada 5 November depan di Gopeng. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Program Sanjung Perak Sejahtera 2030 raikan warga emas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI