Tiada mahkamah, AG boleh buka semula cara YDPA laksana kuasa – Peguam Najib

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik ‘penangguhan sementara’ sekali gus melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah bekas Perdana Menteri hari ini.

Tetuan Shafee & Co dalam kenyataannya berkata, AGC kini bersandar kepada “Order of Discharge on Payment of Fine” (Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 November 2026.

Sedangkan perintah itu mesti dibaca secara keseluruhannya, bermula dengan tajuknya.

“Ia merupakan perintah yang dibuat berikutan pembayaran denda, dan pelepasan yang dibenarkannya terbit daripada pembayaran itu, sebagaimana yang tercatat dalam resital perintah itu sendiri: “And whereas the said fine … has now been paid” (dan bahawasanya denda tersebut … kini telah pun dibayar),” katanya.

Jelas firma guaman itu, di sisi undang-undang, pembayaran denda melepaskan liabiliti untuk membayar denda tersebut, namun ia tidak boleh menamatkan hukuman pemenjaraan.

Perintah yang sama turut merekodkan bahawa Najib hendaklah menjalani hukuman secara tahanan di rumah selaras dengan Perintah Pengampunan, sebagaimana yang diakui sendiri oleh AGC pada 6 November 2026.

Selain itu, titah Sultan Ibrahim pada hari ini juga menyatakan Perintah Pengampunan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.

Maka, setelah pembayaran RM50 juta direkodkan, tiada apa-apa tafsiran yang boleh mengatasi titah Seri Paduka Baginda.

“Perkara Kuasa itu milik Seri Paduka Baginda semata-mata. Tiada mana-mana mahkamah, apatah lagi Peguam Negara, yang berhak membuka semula cara Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa itu setelah Baginda menerima nasihat Lembaga Pengampunan, yang turut disertai secara aktif oleh Peguam Negara sendiri,” katanya.

Justeru, pasukan peguam Najib menggesa Komisioner Jeneral Penjara memindahkan Najib ke kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI