Naik taraf padang Stadium Perak jangka siap Januari tahun hadapan

IPOH – Kerja-kerja menaik taraf padang bola sepak di Stadium Perak dekat sini yang bermula sejak Jun lalu dijangka siap pada Januari tahun hadapan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, projek melalui peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu turut melibatkan penggantian rumput padang ‘Axonopus Putra’.

“Skop kerja membabitkan pertukaran rumput padang yang lebih tahan dan sesuai dengan pelbagai cuaca di Malaysia. Ini kerana kita mahu pastikan ia tidak menggangu kualiti larian pemain, pergerakan bola serta tidak menakung air hujan.

Naik taraf Stadium Perak 2025 padang Stadium Perak, rumput Axonopus Putra, Sandrea Ng Shy Ching, projek KBS, Majlis Bandaraya Ipoh, Stadium Perak dibuka semula, naik taraf padang bola
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2025.

“Selain itu, kerja-kerja ini turut membabitkan proses naik taraf sistem perparitan, levering atau melaras permukaan tanah, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengadakan lawatan ke Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2025.

Rumput Axonopus Putra atau ‘Axon Putra 001’ merupakan spesies rumput yang dihasilkan melalui inovasi tenaga pakar tempatan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut, Sandrea berkata, walaupun kerja fizikal dijadualkan siap pada Januari tahun hadapan, namun tempoh tambahan antara tiga hingga enam bulan diperlukan bagi memastikan rumput baharu benar-benar matang.

“Kalau ikut jangkaan konservatif, tempoh satu tahun diperlukan untuk keseluruhan proses ini sebelum Stadium Perak boleh dibuka semula kepada sebarang aktiviti rasmi.

“Setakat ini semua kerja naik taraf berjalan mengikut jadual dan masih dalam fasa permulaan sejak ia dimulakan Jun lalu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sandrea berkata, projek perumahan D’Aman Residensi Meru Raya kini berada pada tahap 99.2 peratus siap dan hanya menunggu beberapa proses teknikal terakhir.

Jelas beliau, kerja-kerja yang sedang dilakukan kini melibatkan pemeriksaan, pembaikan kecil serta penyerahan sub-stesen kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sekarang ia sudah hampir selesai dan sasaran pemaju adalah untuk mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki (CCC) pada Disember ini,” ujarnya.

Naik taraf Stadium Perak 2025 padang Stadium Perak, rumput Axonopus Putra, Sandrea Ng Shy Ching, projek KBS, Majlis Bandaraya Ipoh, Stadium Perak dibuka semula, naik taraf padang bola
Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat Program Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 03 OKTOBER 2025.

Mengulas tentang program Sandrea berkata, sebanyak 52 cadangan pengubahan Rancangan Tempatan (RT) Bandaraya Ipoh 2035 disenaraikan setakat ini.

Kata beliau, ia melibatkan perkara seperti pengubahan zon guna tanah, pengubahan ketinggian bangunan dan pengubahan jadual kelas kegunaan tanah dan bangunan.

“Publisiti memberi peluang kepada penduduk, pemilik tanah, agensi kerajaan dan pihak lain yang berkepentingan untuk mengulas, memberi cadangan penambahbaikan atau menyatakan bantahan terhadap kandungan rancangan tempatan tersebut,” tambahnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Naik taraf padang Stadium Perak selepas Kejohanan Olahraga MSSM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI