IPOH – Gesaan untuk dikenakan tindakan disiplin kepada anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terlibat dengan sidang media Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada 30 September lalu disifatkan sebagai tidak wajar.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, ini kerana gesaan yang dibuat 14 Ketua Bahagian Parti di Perak itu disifatkan sebagai mendahului proses siasatan Lembaga Disiplin Parti.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Pasir Salak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik memberitahu, kenyataan yang dibuat itu bersifat tuduhan dan mempunyai kepentingan terhadap pihak tertentu.
Tambah Zainol Fadzi, kenyataan Ketua Bahagian BERSATU Bagan Datuk, Datuk Azhar Anuar, melalui Facebook yang mendesak agar Lembaga Disiplin Parti mengambil tindakan kepada dua ketua bahagian di Perak yang didakwa menjadi ejen mahu menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak berasas
“Gesaan yang dibuat oleh 14 Ketua Bahagian BERSATU agar MPT dan Lembaga Disiplin Parti mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat juga tidak wajar kerana mendahului proses siasatan Lembaga Disiplin.
“Ini merupakan sangkaan buruk dan andaian tanpa melalui proses siasatan yang sewajarnya.
“Sebarang aduan seharusnya disalurkan terus kepada parti dan bukan dikeluarkan melalui kenyataan media secara terbuka atau sekadar diluahkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Zainol Fadzi juga meminta agar kedudukan Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU dapat kaji semula kerana dibimbangi berlaku konflik kepentingan.
Jelas beliau, ia memandangkan Mohammed Radzi merupakan bapa kepada Ahli MPT Datuk Nolee Ashilin, di samping bapa mentua kepada Naib Presiden Parti merangkap Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Tambah Zainol Fadzi, Lembaga Disiplin Parti ditugaskan untuk menyiasat dan mendengar terhadap sebarang aduan mahupun tuduhan yang dikemukakan oleh ahli parti, kemudian mencadangkan tindakan dan keputusan, bukan menjatuhkan hukuman semata-mata.
“Lembaga Disiplin Parti yang dipengerusikan Mohammed Radzi harus bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak mahupun konflik kepentingan.
“Saya juga berasa pelik secara tiba-tiba Jawatankuasa Lembaga Disiplin aktif melayan aduan selepas insiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
“Sedangkan banyak aduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hingga pemilihan parti di peringkat bahagian pada tahun 2024 tidak pernah diambil peduli oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya lagi.
Tegas beliau, amat penting bagi MPT serta Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti mengambil pendirian sewajarnya dalam memastikan integriti parti tidak tercemar dan terus dihormati oleh ahli.
Pada Selasa minggu lalu, 14 Ketua Bahagian BERSATU di Perak mendesak agar tindakan disiplin dikenakan ke atas Wan Saiful kenyataan yang didakwa bercanggah dengan dasar dan disiplin parti.
Melalui satu kenyataan mereka menegaskan bahawa kenyataan dibuat Wan Saiful bersama beberapa pemimpin bahagian lain bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan imej BERSATU di mata rakyat.
Kenyataan itu disokong antaranya, Ketua Bahagian BERSATU Batu Gajah, Mohader Ahmad Mohammad Ayob, Mohammad Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Dr Hashim Bujang (Kuala Kangsar), serta Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tambun, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.
Isnin lalu, media melaporkan Wan Saiful mendedahkan bahawa beliau menerima maklumat yang mendakwa siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Sandakan, Sabah, pada 2019 sebagai tulen.
Pada sidang media sama di Ibu Negara, Wan Saiful juga menafikan akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan 120 ketua bahagian bukan sebagai mahu mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden BERSATU. – MG Perak
Artikel Berkaitan: