IPOH – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui inisiatif promosi, kerjasama industri dan peningkatan kualiti latihan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, ini kerana TVET adalah pemangkin utama kepada pembangunan negara yang berteraskan kemahiran, inovasi dan daya saing global.
Justeru katanya, para pemain industri TVET diminta untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan agar usaha memperkasakan sektor berkenaan dapat diteruskan.
“Hanya dengan gabungan kepakaran industri dan kekuatan latihan institusi, kita mampu melahirkan tenaga mahir yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja dan mendorong pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Ahad.
Mengulas tentang program, Rubiah berkata, ekspo berkenaan bukan sekadar ruang pameran, tetapi ia juga medan pertemuan idea dan inovasi.
Kata beliau, ia menjadi jambatan penting yang menghubungkan institusi latihan, agensi kerajaan, pemain industri serta komuniti, bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang bukan sahaja mahir dan kompeten, serta bersedia menghadapi perubahan teknologi masa hadapan.
“Penganjuran ekspo ini selaras dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan usaha memperkukuh ekosistem TVET melalui promosi, pengiktirafan dan kolaborasi strategik antara pelbagai pihak berkepentingan.
“Ia turut memperlihatkan kesungguhan KKDW dalam memperkukuh ekosistem TVET luar bandar melalui pendedahan kepada teknologi baharu, aplikasi inovatif serta kolaborasi strategik bersama rakan industri,” ujarnya.
Menurt Rubiah, Ekspo TVET@KKDW 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat telah berjaya menarik kehadiran 333,560 orang pengunjung, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.
Kata beliau, ekspo bertemakan “TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi” yang melibatkan penyertaan agensi KKDW, institusi TVET awam dan swasta serta industri seluruh negara itu menampilkan pelbagai pengisian padat.
Rubiah berkata, sebanyak 16 slot webinar bersama pakar pelbagai bidang dianjurkan sepanjang ekspo berkenaan serta sesi ‘masterclass’, ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ percuma dalam bidang teknologi termasuk Teknologi Retort, Internet of Things (IOT) dan Kecerdasan Buatan (AI) Pertanian, dan sebagainya.
“Salah satu tarikan utama ekspo ini ialah penganjuran sebanyak 15 pertandingan yang merangkumi Pertandingan Kreativiti dan Inovasi, Pertandingan Kemahiran serta Pertandingan Fesyen.
“Penyertaan kali ini amat menggalakkan, melibatkan pelajar dari pelbagai institusi latihan kemahiran awam, swasta serta sekolah-sekolah.
“Penganjuran pertandingan seperti ini bukan sekadar pentas untuk bertanding, tetapi ruang untuk pelajar menonjolkan bakat dan mengasah kemahiran sebenar dunia pekerjaan,” tambah beliau.
Pada majlis penyampaian hadiah, Rubiah menyampaikan Anugerah Johan Keseluruhan kepada Institusi latihan dan kemahiran GiatMARA yang membawa pulang wang tunai RM2,000.
Sementara itu, GiatMARa Ledang yang menampilkan rekaan ‘Intelligent Socket Power’ dan wakil GiatMARA Kuala Lumpur, Shahnin Abdullah dengan rekaan ‘Braille In Embroidery’ masing-masing menerima Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Juri, dengan membawa pulang wang tunai RM1,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Zahid harap UiTM muncul sebagai Universiti Usahawan TVET Global