Belanjawan 2026 percepat agenda TVET Perak – Saarani

GOPENG – Tumpuan Kerajaan Persekutuan meningkatkan kemahiran dalam Belanjawan 2026 bakal mempercepat agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia termasuk tumpuan melibatkan pekerja gig dan pengukuhan keselamatan dalam negeri serta daya tahan sosioekonomi.

Beliau berkata, selain mempercepatkan agenda TVET Perak ia juga dilihat bakal memberi manfaat kepada mobiliti pekerjaan anak muda dan kebolehpasaran tenaga kerja khususnya di kawasan pertumbuhan seperti Tanjung Malim, Manjung–Lumut, Kerian, dan Kinta.

“Sejajar dengan Belanjawan 2026, Kerajaan Negeri Perak akan menyelaraskan fast-track facilitation bagi menggalakkan pelaburan baharu selain peluasan kapasiti perusahaan tempatan dalam sektor halal, logistik, tenaga hijau, dan pembuatan bernilai tambah.

“Kerajaan negeri juga akan menggiatkan program TVET selain meluaskan kerjasama industri bersama GLC, universiti dan pusat latihan untuk memanfaatkan dana peningkatan kemahiran Persekutuan,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR), Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) dan Junior Food Security Innovation Challenge (J-SINC) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di RTC Perak, Gopeng, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 OKTOBER 2025.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR), Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) dan Junior Food Security Innovation Challenge (J-SINC) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di RTC Perak, di sini, pada Isnin.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Tambah Saarani, Kerajaan Perak juga akan mengoptimumkan geran dan mekanisme EFT bagi memperluas projek konservasi komuniti dan ekopelancongan.

“Kita juga akan memastikan bantuan dan inisiatif rakyat disalurkan secara cekap sehingga ke peringkat akar umbi melalui kerjasama setiap pemegang taruh,” katanya.

Saarani turut mewakili Kerajaan Negeri Perak merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menumpukan usaha pembelaan rakyat dalam Belanjawan 2026 minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR), Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) dan Junior Food Security Innovation Challenge (J-SINC) Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di RTC Perak, Gopeng, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 OKTOBER 2025.

Katanya, pendekatan ini selari dengan aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030 – Perak Makmur, Rakyat Sejahtera yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial.

“Belanjawan 2026 memperlihatkan keprihatinan kerajaan Persekutuan melalui bantuan langsung kepada rakyat, pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pelaburan terhadap kemahiran tenaga kerja, komitmen peralihan hijau serta pemerkasaan sektor digital.

“Langkah-langkah pemerkasaan TVET dan penyediaan insentif pelaburan juga dilihat sebagai usaha berterusan Kerajaan memperkukuh keyakinan pelabur dan industri, selain menumpukan usaha membantu rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Tambah Saarani, Belanjawan 2026 adalah isyarat jelas bahawa transformasi ekonomi negara dan negeri bergerak seiring.

Katanya, Kerajaan Negeri Perak beriltizam untuk menukarkan peruntukan kepada hasil nyata lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, pelaburan berimpak tinggi, persekitaran yang terpelihara, dan kualiti hidup rakyat yang semakin baik. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI