KEMAHIRAN dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mampu menjadi sumber pendapatan lumayan apabila mampu memenuhi kehendak pasaran.
Bidang solekan antara kemahiran yang semakin mendapat perhatian apabila ia bukan sekadar menawarkan peluang kerjaya sebagai jurusolek atau make-up artist (MUA), malah boleh dikembangkan kepada perkhidmatan penggayaan pengantin atau ‘groom stylist’ yang turut mempunyai permintaan.
Meskipun mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan Sains Sukan dan Rekreasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Hayatul Irdina Khairul Anwar, 25, berkata, minatnya dalam dunia solekan berputik ketika berusia 15 tahun.
Katanya, penularan COVID-19 menjadi antara titik perubahan apabila situasi pandemik ketika itu menyebabkan peluang pekerjaan terhad, sekali gus mendorongnya menggunakan kemahiran asas solekan yang telah dimiliki untuk menjana pendapatan.

“Saya mula mengenali teknik asas solekan dan dandanan daripada ibu saya yang juga seorang guru subjek Ekonomi Rumah Tangga (kini Sains Rumah Tangga). Dan selepas tamat pengajian pada tahun 2021, saya nampak kemahiran yang saya ada ini boleh dijadikan sumber pendapatan.
“Oleh sebab itu, kemudiannya saya mula tingkatkan kemahiran dalam bidang ini dengan mengambil sijil kemahiran supaya menjadi lebih profesional dan saya bersyukur masih aktif sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak pada Jelajah AIM TVET Sempena Karnival Mesra Anak Muda 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, baru-baru ini.
Hayatul Irdina berkata, beliau mendapatkan sijil kemahiran di SPIC International College di Pulau Pinang, selain mengikuti pelbagai kelas bersama jurusolek profesional lain bagi mempelajari teknik dan gaya baharu solekan.
Kata beliau, pendekatan meningkatkan kemahiran secara berterusan itu penting dalam bidang solekan dan penggayaan pengantin kerana citarasa pelanggan sentiasa berubah di samping mempunyai kehendak berbeza.
Raih pendapatan lumayan
Hayatul Irdina berkongsi, beliau menawarkan perkhidmatan MUA dengan kadar bayaran RM500 bagi solekan pengantin dan RM250 bagi solekan untuk sebarang acara, di samping turut menerima tempahan mengajar.
“Jumlah terkumpul paling tinggi yang pernah saya peroleh dalam sebulan ialah antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan yang mana ia meliputi bayaran mengajar solekan dan tempahan pengantin,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan itu turut memberi ruang kepada dirinya untuk bergerak secara serius dengan memilih pekerjaan MUA sepenuh masa yang lebih fleksibel berbanding pekerjaan sebelumnya di pejabat.
“Sebagai MUA, rutin kerja untuk tempahan menyiapkan pengantin bermula seawal jam 3 pagi sehinggalah ke waktu bersanding sekitar jam 12 tengah hari.
“Manakala bagi satu sesi solekan, lazimnya ia mengambil masa antara dua hingga tiga jam bergantung kepada permintaan pelanggan,” ujarnya.

Dalam pada itu Hayatul Irdina menyifatkan persaingan dalam industri MUA tempatan ketika ini sebagai persaingan sihat kerana pelanggan mempunyai pelbagai pilihan gaya dan citarasa tersendiri.
Pada peringkat awal, beliau menggunakan media sosial untuk memperkenalkan perkhidmatan sebelum ia berkembang melalui kaedah perkongsian rakan-rakan, pelanggan serta penyertaan dalam acara dan pertandingan.
Kata beliau, antara pencapaian yang dikenangnya ialah berada di tempat ketiga Srikandi Malaysia 2026, sekali gus menjadi peserta dari negeri Perak yang pertama mencapai kedudukan terbaik dalam pertandingan berkenaan.
“Selain kejayaan menempa nama pada pertandingan itu, bagi saya pencapaian paling bermakna ialah apabila dapat melahirkan pelapis MUA baharu.
“Setakat ini lima anak muda telah berjaya saya lahirkan untuk industri ini dan ia membuatkan saya mahu terus belajar serta mengajar selain menunjukkan bahawa kemahiran ini boleh menjadi satu kerjaya yang lumayan,” katanya lagi.
Permintaan ‘groom stylist’ lelaki semakin berkembang
Perkembangan baik dalam industri solekan dan penggayaan turut membawa kepada penglibatan suaminya, Megat Dzulhisham Megat Muzaffar Shah, 28, yang menjadikan ‘groom stylist’ pengantin lelaki sebagai sumber pendapatan sambilan.
Megat Dzulhisham yang berkerja dalam sektor swasta berkata, pada awalnya beliau hanya menemani isterinya ketika menerima tempahan solekan pengantin, namun peningkatan permintaan menyebabkan Hayatul Irdina memerlukan bantuan tambahan untuk menguruskan pelanggan.

Jurusolek dan juruhias lelaki, Megat Dzulhisham Megat Muzaffar Shah, 28, ketika ditemu bual selepas salah satu sesi perkongsian pada program Jelajah AIM TVET Sempena Karnival Mesra Anak Muda 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.
“Awalnya, saya memang tidak mempunyai sebarang kemahiran asas malah, tidak mengenali langsung sebarang peralatan solekan.
“Namun selepas melihat ia mempunyai potensi menjana pendapatan, saya mula belajar dengan isteri, termasuk skill dalam solekan dan menyiapkan pengantin lelaki. Ia kemahiran yang baik untuk dipelajari kerana mampu menjana wang pendapatan sampingan yang sangat baik,” katanya.
Berkongsi nasihat kepada anak muda yang meminati bidang sama, Hayatul Irdina berkata, bidang akademik harus dikuasai dengan baik sebelum memperkasakannya dengan kemahiran tambahan.
“Akademik merupakan perkara asas yang penting dan tidak seharusnya diabaikan, akan tetapi sijil kemahiran juga amat diperlukan kerana industri MUA ini sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa.
“Sekiranya masih mempunyai pekerjaan hakiki, boleh mulakan secara sambilan dahulu dan apabila sudah yakin, barulah ia boleh dikembangkan sebagai kerjaya sepenuh masa,” ujarnya lagi.
Pekerjaan yang diceburi pasangan suami isteri itu selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 hasil cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Keperluan Rakyat Kelima, Pembangunan Modal Insan dan Belia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


