Jelajah AIM TVET Cikgu Din sasarkan 1,000 pengunjung

IPOH – Program ‘Jelajah AIM TVET with Cikgu Din’ peringkat daerah Perak Tengah dijadualkan pada hujung minggu ini menyasarkan kehadiran 1,000 pengunjung, termasuk pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, program berkenaan akan berlangsung pada 26 September ini di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit, dengan memberi tumpuan kepada bidang agroteknologi moden.

Katanya, fokus itu selaras dengan niche daerah Perak Tengah di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 yang mempunyai komuniti pertanian termasuk pesawah, peladang, pekebun kelapa sawit dan pengusaha tanaman kontan.

“Objektif utama kita mengadakan program jelajah ini adalah untuk memecahkan stigma lapuk masyarakat yang menganggap bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua.

“Kita mahu membuktikan bahawa ia adalah laluan perdana yang berdaya saing untuk melahirkan tenaga mahir berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mengenai penganjuran Program Jelajah AIM TVET with Cikgu Din peringkat daerah Perak Tengah, di sini, pada Rabu.

Jelajah AIM TVET Keyphrase synonyms: Jelajah AIM TVET with Cikgu Din, program AIM TVET, Jelajah TVET Cikgu Din, program TVET Perak, AIM TVET Perak Related keyphrases: Jelajah AIM TVET Perak Tengah TVET Perak Cikgu Din TVET program TVET Perak Tengah 1,000 pengunjung TVET
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah (kiri) ketika sidang media mengenai penganjuran program Jelajah AIM TVET with Cikgu Din yang dijadualkan berlangsung di Parit pada 26 September ini, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 SEPTEMBER 2026.

Hadir sama, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ahmad Sabri Abdul Ghani; Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng serta Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman.

Program yang bertemakan ‘AIM’ atau yang membawa maksud kepada Aspirasi, Inovasi, dan Penguasaan itu padat dengan pelbagai pengisian program yang meliputi peluang pendidikan dan kerjaya belia, serta inisiatif kesejahteraan rakyat

Mengulas lanjut Khairudin berkata, antara pengisian yang disediakan sepanjang program ialah pameran dan demonstrasi kemahiran, reruai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), selain sesi perkongsian inspirasi bersama ikon TVET.

Menurut beliau, pengunjung turut berpeluang mengikuti kursus jangka pendek seperti tanaman Bawang Perak, hidroponik dan baja organik yang dikendalikan PASAK dengan disokong tenaga pengajar daripada Jabatan Pertanian Negeri.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat dan anak muda yang sudah mula menceburi bidang pertanian tetapi mungkin masih kurang dari segi kemahiran dan ilmu untuk mendapatkan pengetahuan tambahan,” katanya lagi.

Tambah Khairudin, program itu turut menawarkan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara percuma kepada 150 peserta terawal, selain jualan Rahmah dan Jualan Sejahtera Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

Kata beliau, khidmat gunting rambut dan pertukaran minyak hitam secara percuma turut disediakan hasil tenaga mahir serta pelajar TVET, manakala slot ‘Dari Kebun Cikgu Din’ memberi pendedahan mengenai peluang pertanian menerusi inisiatif Keterjaminan Makanan di bawah Perak Sejahtera 2030.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah antaranya kambing Boer, anak pokok durian premium seperti ‘Musang King’ dan ‘Black Thorn’, set hidroponik serta set penanaman Bawang Perak.

“Sebanyak 30 set Bawang Perak disediakan, manakala set pertanian bandar bernilai RM50 membolehkan masyarakat menjalankan aktiviti penanaman di rumah masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairudin berkata, lima sekolah terbaik daripada pertandingan Laman Dapur dan Inovasi Pertanian akan dibawa ke program berkenaan untuk penilaian akhir oleh panel juri.

Katanya, pertandingan itu dilaksanakan menerusi kolaborasi Jabatan Pertanian Negeri, Perak SADC dan Jabatan Pendidikan Negeri, dengan proses penilaian awal sudah dimulakan di sekolah terbabit. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

FOS perkasa pemahaman masyarakat terhadap STEM, TVET

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI