KUALA LUMPUR – Murid perempuan yang tular kerana cedera di kepala semalam didakwa menjadi mangsa buli.
Perkara itu didedahkan seorang wanita yang mendakwa ada hubungan keluarga dengan mangsa.
Lailykasing Upai dalam komennya melalui Facebook bekas guru dan pempengaruh, Mohd Fadli Salleh berkata, akibat kecederaan tersebut kepala mangsa kena satu jahitan.
Wanita itu mendakwa, mangsa adalah cucu kepada abang sepupunya.
Dakwanya, mangsa dipukul, sekali gus menafikan kecederaan mangsa bukan sebab kemalangan.
Katanya, kejadian itu berlaku di dalam kelas kira-kira jam 7.30 pagi dan ketika itu tiada guru.
“Cucu kami mengadu dia dipukul dengan tali pinggang, budak lelaki tu marah sebab ditegur buat bising dalam kelas,” tulis Lailikasing Upai.
Melalui hantaran berasingan menerusi akaun Jeff Udan pula, lelaki ini mendakwa murid perempuan itu dipukul dengan buckle tali pinggang pelajar lelaki tersebut di kepala hingga cedera.
Sebelum itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata, kecederaan mangsa bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan, sebaliknya akibat kemalangan ketika bermain sesama rakan di sekolah.
“Siasatan awal mendapati murid berkenaan cedera ketika bermain bersama rakan dan bukannya dipukul seperti yang didakwa.
“Pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu dan telah bertindak segera membawa murid terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Malah katanya, gambar yang tular itu diambil ketika mangsa di bawa ke hospital. – MalaysiaGazette