Kematian pendaki Gunung Liang timbulkan persoalan mengenai prosedur keselamatan

IPOH – Kematian pendaki Mustaqqeem Mansoor, 34, di Gunung Liang, Tanjung Malim Rabu lalu telah menimbulkan beberapa persoalan berhubung prosdur keselamatan melibatkan peserta yang terlibat dalam aktiviti mendaki.

Menurut sumber, malim gunung yang didakwa mengetuai pendakian itu tiba di kawasan garisan penamat bersama tiga peserta lain pada subuh Selasa, namun tiada sebarang usaha dibuat untuk membantu atau mencari ahli kumpulan lain yang masih belum tiba walaupun sehingga keesokan pagi.

Difahamkan, ketua malim itu meninggalkan kawasan berkenaan pada lewat malam Selasa meskipun beberapa peserta masih belum keluar dari laluan pendakian dan keadaan mereka tidak dapat dipastikan ketika itu.

“Tindakan tersebut menimbulkan tanda tanya mengenai tahap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap keselamatan ahli kumpulan di bawah penyeliaannya,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Sumber tersebut turut memaklumkan, di penghujung laluan pendakian Gunung Liang, mangsa didakwa telah ditinggalkan bersendirian oleh ahli kumpulan yang berada di bahagian belakang.

“Individu berkenaan kemudiannya didakwa meneruskan perjalanan turun tanpa memastikan keadaan atau keselamatan peserta tersebut.

“Tindakan itu disifatkan sebagai kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai ahli kumpulan penyelaras yang sepatutnya memastikan semua peserta berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan lokasi,” jelasnya.

Bagaimanapun, sumber tersebut memberitahu bahawa rakan baik mangsa menemui semula ahli kumpulan berkenaan di garisan penamat namun tanpa kehadiran mangsa sekitar tengah hari Rabu.

“Menyedari perkara itu, rakan baik mangsa segera membuat keputusan untuk naik semula ke laluan pendakian bagi melakukan pencarian sendiri,” ujarnya.

Menurut sumber, usaha pencarian itu didakwa mengambil masa lebih empat jam setengah, namun gagal menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa.

“Keadaan cuaca ketika itu yang dilaporkan ribut serta berbahaya memaksa pencari (rakan baik mangsa) menghentikan operasi dan mencari tempat perlindungan sebelum turun semula bagi mengelakkan risiko keselamatan lebih serius,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad dilaporkan berkata, kesejukan melampau atau hipotermia dikenal pasti punca kematian Mustaqqeem pendaki yang mengikuti aktiviti mendaki yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang pada Rabu.

Menurutnya, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat dijalankan Pakar Patologi Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Unit Forensik Hospital Slim River.

Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di sini, Isnin lalu.

Jenazah Mustaqqeem selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Penaga, Pulau Pinang pada pagi Sabtu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kesejukan melampau punca kematian pendaki di Gunung Liang – Polis

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI