Tiga sekeluarga alami detik cemas kereta dipijak sekumpulan gajah

GERIK – Tiga sekeluarga melalui detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka dipijak sekumpulan gajah di kilometer (KM) 55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik – Jeli, pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood berkata, insiden berkenaan berlaku selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mangsa melanggar seekor anak gajah.

Menurut Zulkifli, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 7.35 malam berhampiran hentian Titiwangsa menghala ke Jeli, Kelantan.

“Kereta jenis Perodua Axia berkenaan dipandu seorang lelaki berumur 48 tahun bersama dua penumpang yang juga ahli keluarganya masing-masing berusia 47 tahun dan 23 tahun dari Pulau Pinang menghala ke Jertih Terengganu.

“Setibanya di lokasi kejadian yang berselekoh ke kiri, pemandu ternampak sekumpulan enam ekor gajah berada di lorong menghala ke Jeli sebelum terlanggar seekor anak gajah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, ekoran itu, kumpulan gajah berkenaan berang lalu menghampiri kereta dinaiki mangsa sebelum memijaknya.

Ujar Zulkifli, kumpulan gajah berkenaan berhenti memijak Perodua Axia tersebut selepas melihat anak gajah yang dilanggar bangun dan beredar.

“Akibat daripada dipijak sekumpulan gajah kereta dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, hadapan dan belakang.

“Bagaimanapun pemandu dan dua penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya JRTB Gerik-Jeli agar lebih berhati-hati semasa memandu melalui kawasan tersebut kerana terdapat sekumpulan gajah. -MG Perak.

Artikel Berkaitan: 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI