MANJUNG – Meskipun berada di kawasan perkampungan nelayan, komuniti Kampung Pantai Remis di sini melangkah setapak ke hadapan apabila mula menceburi bidang ternakan ikan talapia merah melalui Projek Ternakan Ikan Air Tawar menggunakan sistem bioflok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pantai Remis, Anuar Abdullah berkata, projek berkenaan dijalankan di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dengan peruntukan sebanyak RM100,000 yang disalurkan sejak November tahun lalu.
Katanya, projek ternakan spesies tilapia merah itu dipilih kerana permintaan di pasaran terhadap ikan air tawar dilihat semakin meningkat, terutama dalam kalangan pengusaha restoran dan gerai makan setempat.
“Di tempat lain ada yang buat ternakan lembu, kambing dan sebagainya. Selepas saya tengok video ternakan ikan air tawar menggunakan sistem bioflok di YouTube, saya mula bercita-cita untuk membangunkannya di kampung.
“Malah kalau tengok situasi sekarang, banyak kedai makan di sini yang sudah mula hidang ikan air tawar. Permintaan semakin baik, jadi kita mahu rebut peluang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Majlis Perasmian Projek Sejati MADANI Ternakan Ikan Air Tawar Sistem Bioflok di Kampung Pantai Remis, dekat sini, pada Rabu.
Majlis yang dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta turut dihadiri Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali Abdul Manap.
Menurut Anuar, projek ternakan ikan tilapia merah di kawasan seluas 0.10 hektar itu melibatkan 13 Ahli JPKK serta 15 anggota komuniti dengan kesemuanya mendapat bimbingan daripada pihak swasta melalui agensi kerajaan.
Kata beliau, ia dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat permulaan menggunakan enam daripada lapan kolam utama.
Tambah Anuar, kerja-kerja di tapak projek mengalami sedikit kelewatan akibat urusan teknikal termasuk melibatkan penilaian daripada pelbagai aspek pihak berkuasa tempatan.
“Dalam kami hendak menjayakan projek ini, ia memerlukan semangat dan kesepaduan yang kuat kerana perlu melalui pelbagai proses kajian di peringkat awal.
“Ramai orang di sini sudah biasa dengan laut, tetapi saya fikir tak salah jika kita hendak cuba bidang baharu seperti ternakan air tawar,” jelasnya.
Sistem bioflok bantu jimat kos, mesra alam
Mengulas lanjut Anuar berkata, kaedah atau sistem bioflok dalam projek ternakan ikan itu dipilih kerana ia lebih menjimatkan kos dan mesra alam, di samping dapat membantu meningkatkan kadar tumbesaran ikan.
“Sistem bioflok ini menggunakan konsep probiotik, di mana air dalam kolam dirawat secara biologi supaya kitaran makanan ikan menjadi lebih efisien. Dalam erti kata lain, kita tidak terlalu bergantung keperluan pelet.
“Dan pada masa sama, air dalam kolam itu juga boleh digunakan sehingga proses ikan menjadi matang, dan boleh diambil untuk pasaran, asalkan air berkenaan dirawat setiap minggu,” katanya lagi.
Anuar berkata, tempoh pembesaran ikan berkenaan dari saiz benih dua hingga tiga inci ke saiz matang, mengambil masa sekitar empat bulan.
Tambah beliau, pihaknya berhasrat untuk menjadikan projek tersebut sebagai usaha JPKK untuk menjana sumber pendapatan baharu yang akan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Dana yang diterima ini bukan untuk individu, sebaliknya ia adalah untuk manfaat seluruh komuniti kampung.
“Hasil jualan ikan itu nanti kita akan disalurkan semula untuk membantu penduduk kampung dalam kalangan B40 atau mana-mana yang memerlukan,” ujarnya.
Kata Anuar, sekiranya projek ternakan ikan itu berjaya, JPKK Kampung Pantai Remis berhasrat untuk menambah bilangan kolam di samping mewujudkan pusat pembenihan ikan bagi memastikan rantaian bekalan ikan tilapia merah sentiasa berterusan.
“Walaupun projek ini masih awal, namun sudah ada restoran dan kedai makanan yang berminat untuk bekerjasama dengan kami.
“Jika sambutan memberangsangkan, kami bercadang untuk mewujudkan projek pembenihan sendiri supaya kita tidak bergantung kepada sumber luar. Ini juga boleh buka peluang pekerjaan tambahan kepada penduduk kampung,” tambah beliau lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelepasan ikan asing boleh beri impak negatif kepada ekonomi