TAIPING – Kerajaan Negeri Perak akan segera memperbaiki infrastruktur di sekitar daerah Larut Matang dan Selama (LMS) serta daerah lain yang terjejas akibat banjir.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pejabat Pegawai Daerah akan mengadakan mesyuarat post mortem bagi meneliti infrastruktur yang teruk terjejas dan memerlukan tindakan segera.
“Walaupun sukar untuk mendapat peruntukan pada hujung tahun ini, tapi saya tahu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) barangkali ada peruntukan khas yang boleh membantu kita untuk menyelesaikan masalah tersebut,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Saarani turut memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM1.2 juta yang telah diluluskan kerajaan Persekutuan untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak bagi menjalankan projek yang perlu disegerakan.
“LMS ini besar, ada tiga kawasan Parlimen iaitu Larut, Taiping dan juga Bukit Gantang, jadi sudah pasti kita tahu ia tak mencukupi tetapi kita akan bagi keutamaan kepada projek-projek yang memerlukan ia disegerakan,” jelasnya.

Mengulas mengenai keperluan lain hasil tinjauan bersama mangsa banjir, beliau berkata, kebanyakan mangsa tidak membuat sebarang rungutan kecuali beberapa keperluan asas di sekolah yang dijadikan PPS.
“Tak ada (rungutan) kecuali kita bersimpati dengan sekolah yang jadi PPS ini. Tadi tandas tidak cukup baik, tandas rosak dan ada juga keperluan-keperluan asas yang lain yang diminta oleh beberapa buah sekolah, yang itu kita akan perhatikan.
“Sebab ia merupakan PPS yang telah didaftarkan oleh Pejabat Daerah sekarang. Tapi saya jumpa semua mangsa, nampaknya mereka tiada rungutan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saarani mengakui keadaan banjir kali ini lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun kerajaan negeri sudah berada dalam keadaan siap siaga menghadapi bencana berkenaan.
“Nak dibandingkan dengan 2014, yang ini kita sudah bersiap siaga. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dengan penyertaan jabatan teknikal, agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kita memang mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bencana ini secara berkala.
“Malah beberapa permohonan kepada NADMA untuk dapat beberapa aset-aset baru termasuk khemah, generator dan sebagainya katanya telah ditunaikan oleh NADMA. Jadi maknanya kita membuat persiapan-persiapan, cuma tak cukuplah setakat persiapan agensi, kena persiapan tuan rumah juga,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan membuat persiapan awal apabila musim hujan melanda.
Setakat jam 2 petang, seramai 2,963 mangsa melibatkan 1,006 keluarga ditempatkan di 28 PPS di empat daerah sekitar Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik didakwa punca banjir


