TAIPING – Kerajaan Negeri Perak telah mengarahkan semua ketua jabatan untuk mengaktifkan Skuad Ihsan Madani Penjawat Awam bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selepas air surut di daerah yang terjejas banjir di sekitar negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, skuad itu akan di bawah penyelarasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi mempercepatkan proses pasca banjir serta memastikan keadaan di kawasan terjejas dapat dipulihkan dengan segera.
“Semua penduduk di kawasan berisiko diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta tidak melakukan aktiviti berhampiran sungai, tali air atau kawasan mudah dinaiki air.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama semua agensi keselamatan akan terus memantau keadaan semasa dan memastikan bantuan disalurkan dengan cepat, teratur dan menyeluruh.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, agensi keselamatan dan masyarakat setempat atas semangat kebersamaan yang ditunjukkan dalam membantu mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani berkata, semua agensi keselamatan dan jabatan teknikal serta pihak berkuasa tempatan, telah digerakkan sepenuhnya bagi melaksanakan operasi menyelamat, menyediakan kemudahan asas di PPS dan memastikan kebajikan mangsa terjamin.
“Hari ini saya melakukan tinjauan di beberapa PPS di daerah Manjung dan Larut, Matang serta Selama (LMS) bagi meninjau keadaan mangsa banjir serta memastikan segala bentuk bantuan dapat disalurkan dengan baik dan teratur.
“Antara PPS yang telah dilawati ialah SK Sungai Batu di Pantai Remis, SK Beruas, SK Temerlok di Trong dan Masjid Al-Wusta Changkat Jering.
“Di PPS SK Matang Gelugor ini, saya dimaklumkan seramai 144 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan sejak dibuka pada 23 Oktober lalu.
“Selepas ini, tinjauan akan diteruskan ke dua lagi PPS iaitu di ADTEC Taiping dan Masjid Ali Rouse Batu Kurau dan mungkin akan ke daerah Kerian,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan Perak segerakan baik pulih infrastruktur terjejas banjir – MB


