IPOH – Sebuah syarikat kuari didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan memiliki 10,129 liter minyak diesel tanpa permit dua tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad, menjatuhkan hukuman itu selepas GCCP Marble Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya, Loo Wooi Hong, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan berjumlah RM23,803.15 dilucutkan hak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati telah melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki 10,129 liter diesel yang merupakan bahan berjadual yang digunakan dalam perjalanan perniagaan tanpa kebenaran pengawal.
Perbuatan itu dilakukan di GCCP Marble Sdn Bhd, Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, Ipoh sekitar jam 6.30 petang pada 15 Ogos 2023.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Shamani Natha bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Wong & Ang.
Terdahulu, Mohamad Nazreen dalam litigasinya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak yang berkaitan telah bersetuju hukuman denda RM40,000 dikenakan terhadap syarikat tersebut dan hasil jualan berjumlah RM23,803.15 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.
“Harap jatuh hukum seperti yang dipersetujui pihak-pihak berkaitan mengambil kira keseriusan kes ini,“ katanya.
Sementara itu, peguam bela yang mewakili syarikat berkenaan dalam rayuannya berkata, kesalahan itu adalah yang pertama dan telah mengaku salah serta pengakuan itu telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Katanya, syarikat itu sebelum ini pernah memilik permit tetapi telah tamat tempoh dan kini mereka mempunyai permit yang sah untuk menyimpan diesel.
Difahamkan, syarikat tersebut membayar denda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekas pengarah syarikat kuari didenda RM15,000 simpan diesel tanpa permit


